Insya-Allah BN, PAS Bersama Bentuk Kerajaan Selepas PRU-15

KANGAR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama PAS yakin bakal membentuk kerjasama yang jitu melalui pengalaman serta kelebihan masing-masing bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua parti terbesar orang Melayu Islam itu mempunyai keseimbangan dan titik persamaan meskipun pernah bertelagah selama ini.

“PAS sudah diuji sekian lama (menjadi pembangkang). Meskipun tidak pernah membentuk kerajaan Pusat namun mereka istiqamah, mempunyai daya tahan dan semangat perjuangan. Kita (UMNO) pula mempunyai pengalaman dalam mentadbir negara.

“Insya-Allah kita (UMNO dan PAS) akan bersama membentuk kerajaan selepas PRU-15,” katanya ketika berucap pada Ceramah Muafakat Nasional UMNO dan PAS di Dewan 2020 di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Hadir sama, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan kepemimpinan UMNO dan PAS negeri serta lebih 2,000 penyokong kedua-dua parti itu.

Tambah Ahmad Zahid, kepimpinan kedua-dua parti itu sebelum PRU-14 sudah sering kali bertemu untuk tujuan menjalinkan kerjasama namun tidak diterjemahkan melalui tindakan.

Namun katanya, kekalahan BN dan PAS dalam pilihan raya lalu memberi hikmah besar yang menyaksikan penyatuan umat Islam melalui kerjasama atau ta’awun siyasi antara dua parti ini.

“Tuan Guru (Abdul Hadi) malah pernah ke rumah Perdana Menteri pada masa itu, ramai kepimpinan PAS pada masa itu juga hadir ke rumah Timbalan Perdana Menteri dengan tujuan untuk kerjasama.

“Tangan yang dihulur untuk menjalin kerjasama itu ‘disambut’ baik namun sayangnya tidak diterjemahkan melalui tindakan yang akhirnya menyaksikan pertandingan tiga penjuru,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu. – UTUSAN ONLINE

Loading...