Institusi Diraja Berhak Kritik Kerajaan Pakatan Harapan

MARANG – Institusi diraja berhak memberikan pandangan termasuk mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam apa jua isu demi kepentingan rakyat serta negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hal itu kerana institusi diraja mempunyai kaitan dengan kerajaan dan rakyat jadi, bukanlah sesuatu yang salah sekiranya pihak istana campur tangan dalam hal-hal tertentu.

“Pada saya tak salah untuk (istana) memberi pandangan sebab sesi pemerintahan kita merangkumi istana dan kalangan politik.

“Politik melibatkan semua… politik ini luas dan bukan parti politik sahaja tetapi termasuk raja berperlembagaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya sejurus selepas mengadakan kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Sebelum ini, wujud tanggapan bahawa kerajaan PH tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Raja-Raja Melayu berikutan krisis yang berlaku antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membabitkan pelbagai isu termasuk Statut Rom.

Kerajaan yang didakwa cuba menghapuskan Raja-Raja Melayu menarik diri daripada meratifikasi statut berkenaan selepas mendapat bantahan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, tanggapan pihak tertentu bahawa kerajaan PH tidak bekerjasama dan mengiktiraf peranan Raja-Raja Melayu adalah salah dan tidak betul.

Beliau sebaliknya menjelaskan, hubungan kerajaan PH dengan Raja-Raja Melayu masih baik dan mesra malah pucuk pimpinan turut memahami penghormatan rakyat terhadap institusi diraja.

Malah katanya, kerajaan mengiktiraf kedudukan raja berpelembagaan dan peranan mereka dalam masyarakat, justeru pendekatan itu tidak berbeza dengan apa yang berlaku dalam masyarakat. – UTUSAN ONLINE

Loading...