Instagram Harry-Meghan Pecah Rekod Dunia

KURANG enam jam selepas dilancarkan, akaun Instagram pasangan diraja Britain, Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle memecah rekod apabila mencecah angka sejuta pengikut.

Perkara itu diumumkan Rekod Dunia Guinness pada Rabu.

Akaun pasangan diraja Sussex yang setakat ini hanya memuat naik satu posting simbol monogram dengan nama mereka dilancarkan pada Selasa dan hingga kini melonjak kepada 2.7 juta pengikut.

“Kami mahu berkongsi sebarang sokongan, pandangan dan pengumuman serta mengetengahkan sebarang peluang berkaitan sebarang isu,” demikian kata mereka.

Hanya beberapa minggu lagi, pasangan ini bakal menimang cahaya mata pertama mereka.

Pasangan ini telah memecah rekod yang sebelum ini disandang penyanyi K-pop Korea Selatan, Kang Daniel yang memperoleh sejuta pengikut dalam masa 11 jam, 36 minit.

Sebelum ini, Meghan yang juga bekas aktres menerusi siri televisyen Amerika Syarikat, Suits telah memadam semua akaun media sosial peribadinya menjelang pernikahan dengan Harry pada Mei 2018. – Agensi

Loading...