Insiden Pencemaran Bukan Punca Kematian Penduduk – Menteri

PUTRAJAYA – Punca kematian penduduk Taman Cahaya Masai, Marini Kasman bukan disebabkan oleh insiden pencemaran di Pasir Gudang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penyebab kematian mangsa adalah sebagai ‘Decompensated Heart Failure’ setelah beberapa hari menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Beliau menjelaskan, mangsa sebelum itu telah dibawa hospital kerana mengalami gejala kesukaran bernafas dan batuk selama tiga hari, bengkak di bahagian kaki dan demam selama sehari.

“Mangsa dimasukkan ke dalam wad di mana pemeriksaan mendapati arwah berada dalam keadaan akut (acute) iaitu tekanan darah sangat tinggi serta kadar pernafasan yang tinggi (sesak nafas).

“Pasukan perubatan telah berusaha sedaya upaya memberikan rawatan namun keadaan kesihatannya menjadi semakin serius dan meninggal dunia pada pukul 4.20 pagi semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dzulkefly menambah, berdasarkan presentasi klinikal, gejala dialami serta hasil pemeriksaan ujian berkaitan telah menunjukkan beliau mengalami kegagalan jantung dan fungsi jantung yang merudum akibat masalah kesihatan kronik.

Katanya lagi, semakan laporan di HSI juga mendapati bahawa tiada rekod melaporkan arwah pernah mendapatkan rawatan susulan kejadian di Sungai Kim Kim atau sejak 20 Jun 2019 lalu (selepas laporan kejadian pelajar sekolah sesak nafas).

“Sekali lagi pihak kementerian ingin mengucapkan takziah kepada suami serta ahli keluarga dan kami juga bersedia untuk berjumpa dengan ahli keluarga arwah bagi menerangkan semula penyebab kematian.

“Orang ramai, pihak media dan juga lain-lain pihak adalah dinasihatkan untuk menghormati perasaan keluarga arwah serta mengelak menyebarkan maklumat yang tidak sahih,” katanya.

Marini yang merupakan peniaga minuman meninggal dunia semalam dipercayai akibat kekurangan oksigen dalam darah ketika mendapatkan rawatan.

Suami mangsa, Abu Bakar Abd. Rahman pula menjelaskan isterinya telah diserang asma sejak dua hari lalu. – UTUSAN ONLINE

Loading...