Insiden Pasir Gudang Tidak Sepatutnya Berulang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan insiden pencemaran udara di Pasir Gudang tidak sepatutnya berlaku selepas terjadinya insiden serupa sebelum ini.

“Ini kurang cerdik… nampaknya ada industri-industri yang tidak begitu prihatin terhadap keselamatan menyebabkan insiden ini berlaku lagi.”

Dr. Mahathir berkata demikian merujuk kepada Insiden Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Mac lepas yang turut menyebabkan pencemaran udara dan simptom lebih kurang serupa pada orang ramai di situ.

“Sebab itu kita perlu kenal pasti siapa mencemarkan udara di situ dan ambil tindakan yang tegas terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes pencemaran di Pasir Gudang kali ini yang menyebabkan ramai yang sesak nafas dan muntah sejak Khamis lepas.

Menurut laporan semalam, kerajaan negeri Johor mengarahkan 17 buah sekolah, 69 tadika serta sebuah institusi pengajian tinggi yang melibatkan 20,108 pelajar ditutup selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis sebagai langkah berjaga-jaga.

Loading...