Insiden Doktor Tinggi Suara Kepada Pesakit Selesai

SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memandang serius isu membabitkan insiden seorang doktor perubatan yang meninggikan suara terhadap pesakit sepertimana yang tular di media sosial semalam.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Negeri Sembilan, Dr. Mohamad Faid Abd Rashid berkata siasatan awal dijalankan serta-merta selain menghubungi pengadu bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci.

“Terkini, isu berkenaan diselesaikan melalui proses runding cara kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, tular di Facebook dan WhatsApp rakaman video berdurasi 28 saat daripada seorang wanita berkaitan perkhidmatan doktor yang tidak memuaskan di Klinik Kesihatan Seremban dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Faid yang ketika ini menjalankan tugas pengarah Kesihatan Negeri turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian terhadap mana-mana pihak yang terlibat selain perlu mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi JKNNS atau Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sebarang aduan mengenai perkhidmatan yang disampaikan perlulah dikemukakan melalui saluran rasmi yang disediakan. Orang ramai juga adalah diingatkan bahawa mengambil gambar serta rakaman video tanpa kebenaran di fasiliti kesihatan adalah dilarang.

“Larangan ini amat penting untuk difahami dan dipatuhi terutamanya demi menjaga kerahsiaan pesakit-pesakit lain yang sedang menerima rawatan mahupun pemeriksaan di fasiliti kesihatan termasuk di bilik konsultasi pegawai perubatan,” katanya.

Dalam pada itu, Faid berkata pihaknya mengalu-alukan cadangan serta pandangan daripada orang awam dan akan terus berusaha melaksanakan penambahbaikan terhadap perkhidmatan kesihatan.

Loading...