Inotekdesa Papar Tekonologi Bantu Usahawan Desa

PUTRAJAYA – Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (Inotekdesa) yang diadakan di Melaka pada bulan ini akan menjadi platform terbaharu kepada kerajaan mendedahkan teknologi dan inovasi kepada usahawan desa, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun.

“Ekspo ini diperkenal dengan tujuan untuk melahirkan, mendidik serta membentuk usahawan desa yang baharu dan sedia ada agar lebih kreatif, inovatif serta berdaya saing,” katanya pada taklimat media mengenai Inotekdesa di kementeriannya, di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Inovasi Pemacu Produk Berkualiti’, Inotekdesa yang menumpukan penglibatan usahawan desa dalam satu platform secara kolaborasi melibatkan pembekal teknologi, hasil inovasi dan pengusaha produk dan perkhidmatan, akan berlangsung selama empat hari bermula 15 hingga 18 November di Melaka International Trade Centre (MITC).

Rina berkata ekspo yang akan disertai 400 pempamer dari seluruh negara itu memberi peluang usahawan desa menjalin peluang perniagaan dengan pemain profesional, dengan nilai jualan RM10 juta disasarkan dijana daripada ekspo berkenaan.

“Berteraskan elemen keusahawanan, teknologi dan inovasi, ekspo ini akan menemukan usahawan desa dengan pembekal teknologi dan inovasi seperti mesin pembuatan produk yang sering menjadi halangan kepada usahawan desa mengembangkan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, ekspo itu akan menampilkan 70 pempamer yang menawarkan mesin berteknologi terkini untuk dimiliki usahawan bagi menghasilkan produk lebih berkualiti dan berinovasi. – BERNAMA

Loading...