PUTRAJAYA – Inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim semasa inisiden rusuhan di Selangor bulan lepas, perlu bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin berkata, pihaknya menyokong dan menyambut baik keputusan mengadakan inkues itu.

“Dalam soal ini, saya rasa Kementerian Dalam Negeri telah melakukan keputusan wajar selepas membuat siasatan awal dan mereka fikir sewajarnya mengadakan inkues.

“Jadi, kita serah kepada inkues yang dijalankan dan apa jua keputusan, majistret akan membuat keputusan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Wira Riben Merah di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini hari ini.

Zuraida berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan netizen berhubung inkues.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata majistret akan diarah melakukan satu inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib yang meninggal dunia dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Se­langor pada 27 Nov lepas.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas kepadanya menerusi perbincangan selepas dapatan tertentu mengenai sebab kematian Muhammad Adib ditemukan.

Menurut Zuraida lagi, keputusan bedah siasat telah dibentang kepada Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dalam inkues ini, beberapa pakar perubatan yang merawat Allahyarham akan dipanggil, malah memberi peluang beberapa kepada saksi baharu memberikan keterangan,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata setiap anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa diberi latihan dan modul mengikut ketetapan yang diperuntukkan di bawah standard antarabangsa.

“Modul latihan sentiasa dikemas kini dan jika ada keperluan untuk diperbaiki, kita alu-alukan,” katanya.

Terdahulu, Zuraida dalam ucapannya mengingatkan rakyat Malaysia menghormati tugas dan tanggungjawab anggota uniform serta tidak mengambil tindakan mengikut nafsu sekiranya tidak berpuas hati terhadap sesuatu modul.

Kepada anggota dan pegawai Bomba pula, beliau menasihatkan agar kematian Muhammad Adib tidak melunturkan semangat untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“Pengorbanan Adib dilihat sebagai hero dan wira negara,” katanya.

Pada majlis itu, Zuraida secara simbolik menyerahkan kenaikan pangkat Gred KB22 kepada bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid.

Beliau juga menyampaikan lapan pelbagai sumbangan kepada keluarga Muhammad Adib yang keseluruhannya berjumlah RM298,755.

Pengerusi Yayasan Eco World Tan Sri Lee Lam Thye menyerahkan cek sumbangan RM10,000 kepada keluarga Muhammad Adib.

Waris keluarga enam Wira Merah yang terkorban semasa menjalankan tugas penyelamatan di Lombong Taman Putra Perdana Puchong, Selangor pada 3 Okt lepas turut menerima sumbangan sebanyak RM362,282 dan RM50,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). – BERNAMA

Loading...