Inkues Kematian Nora Anne Dalam Bahasa Malaysia, Inggeris

SEREMBAN – Inkues bagi mengetahui punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin bermula di sini, hari ini dan Koroner Maimoonah Aid berkata prosiding akan dijalankan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.

Beliau menjelaskan beberapa saksi tidak fasih berbahasa Inggeris.

Menurut Seksyen 8, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, “mahkamah membenarkan prosiding dijalankan sebahagian dalam Bahasa Malaysia dan sebahagian dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

“Jadi, ini adil untuk semua orang,” katanya sebaik sahaja prosiding inkues bermula di Mahkamah Koroner Seremban di sini.

Mayat Nora Anne, 15, ditemukan pada 13 Ogos tahun lalu kira-kira 2.5 kilometer (km) dari sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 km selatan Kuala Lumpur, selepas dia dilaporkan hilang pada 4 Ogos, sehari selepas remaja itu dan keluarganya tiba Malaysia untuk percutian dua minggu.

Laporan bedah siasat awal mendedahkan tiada unsur jenayah dalam kematian Nora Anne. Disahkan remaja itu mati akibat mengalami kebocoran usus, yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Maimoonah berkata tujuan inkues itu diadakan adalah untuk mengetahui punca kematian Nora Anne berdasarkan beberapa soalan, seperti bila, di mana dan bagaimana remaja itu mati.

“Kami di sini bukan untuk mendakwa sesiapa dan peguam berada di sini bukan untuk membela sesiapa” katanya.

Sebanyak 64 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan, dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop adalah saksi pertama memberi keterangan.

Prosiding akan berlangsung selama dua minggu, dari 24 hingga 28 Ogos dan dari 1 hingga 4 September. – BERNAMA