Inkues Elak Lompong Dalam Siasatan Kes Adib

ALOR SETAR – Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim yang akan diadakan di Mahkamah Shah Alam bermula 18 Januari ini merupakan prosedur terbaik bagi menuntut keadilan buat Allahyarham.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kes Muhammad Adib perlu diteliti sepenuhnya menerusi inkues bagi mengelakkan kelompongan dalam siasatan.

“Tiada isu siasatan Adib dilambatkan kerana ia merupakan isu negara dan kes ini perlu diteliti mengikut prosedur kerana kita tidak mahu ada ruang lompong (dalam siasatan) seterusnya menjadi satu isu lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ibu bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 63, dan Asma Aziz, 51, di rumah mereka di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya juga percaya prosiding inkues akan dilaksanakan dengan cepat dan menyeluruh dengan lebih 20 saksi berkaitan akan dipanggil memberi keterangan pada prosiding tersebut.

“Semua doktor pakar dan forensik yang merawat serta melakukan bedah siasat terhadap Adib juga akan dipanggil untuk memberi keterangan pada inkues itu yang dijangka selesai dalam masa sebulan,” ujarnya.

Zuraida pada masa sama berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan mempolemikkan kes berkenaan.

Dalam kejadian pada 27 November lalu, Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Selangor kritikal selepas dibelasah sekumpulan perusuh ketika tiba di kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafields, Subang Jaya bagi memadamkan satu kebakaran kereta.

Selepas 21 hari dirawat, Muhammad Adib meninggal dunia 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur akibat kecederaan dalam dialaminya. – K! ONLINE

Loading...