Inkues Adib: Telefon Bimbit Saksi Hilang Semalam

SHAH ALAM – Telefon bimbit yang digunakan saksi ketika merakamkan insiden membabitkan dua kenderaan bomba berlanggar semasa mengundur akibat diserang perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman USJ Subang, November tahun lalu, hilang semalam.

Pemilik telefon yang juga saksi ke-22, Hardeeb Singh Jaswant, memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Koroner ketika Pegawai Pengendali, Zhafran Rahim Hamzah bertanya sama ada telefon itu dibawa ke mahkamah hari ini.

Katanya, telefon bimbit jenis iPhone X itu hilang di tandas sebuah stesyen minyak ketika dia dalam perjalanan ke mahkamah untuk memberi keterangan.

“Telefon saya hilang semalam. Tak pasti tercicir atau macam mana.

“Semasa kejadian, saya lebih fokus merakamkan kejadian itu dan tidak perasan Mohsin (saksi ke-20) dimana tetapi dia bersama saya semasa kejadian berlaku,” katanya ketika menjadi saksi dalam prosiding inkues punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Menurutnya, dia sempat membuat empat rakaman melibatkan kereta terbakar dan Fire Rescue Tender (FRT).

Sementara itu, ketika disoal peguam keluarga mewakili Muhammad Adib, 24, Kamaruzaman A Wahab, sama ada dia melihat anggota bomba itu diserang, dia hanya menjawab tidak.

“Saya tidak melihat apa yang berlaku terhadap mangsa dan apa yang direkodkan di dalam telefon bimbit, itulah yang saya nampak,” ujarnya.

Terdahulu, Hardeep memberitahu, keadaan di situ sangat sesak dengan menganggarkan ada sekitar 10,000 orang di situ. – K! ONLINE