Inkues Adib: “Sedih Saya, Terima Pelbagai Cacian”

SHAH ALAM – Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyatakan rasa sedihnya selepas membaca hantaran komen pemilik akaun Facebook bernama ‘Cik Miera’ berhubung keterangannya dalam prosiding Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Sedih saya,” kata Dr. Ahmad Hafizam Hasimi sebaik sahaja kenyataan individu bernama Cik Miera selesai dibacakannya di Mahkamah Koroner hari ini.

Berikutan hantaran tersebut katanya, beliau telah dianggap berbohong ketika memberi keterangan.

“Saya juga menerima pelbagai cacian,” katanya lagi.

Menurutnya, sesiapa yang mempunyai maklumat berbeza berhubung kecederaan yang dialami oleh anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Subang Jaya, perlu tampil.

“Saya sarankan dia dipanggil ke mahkamah untuk menentukan kesahihan maklumat tersebut,” katanya.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 kali memberi keterangan di mahkamah berhubung pelbagai kes kematian berkata, setiap pemeriksaan bedah siasat dan klinikal yang dijalankan telah didokumenkan.

“Pemeriksaan bedah siasat memang ada kecederaan trauma tumpul. Perkara itu telah saya masukkan dalam laporan bedah siasat.

“Berdasarkan kelayakan saya dan ilmu forensik dan kepakaran saya, bagaimanakah si mati mendapat kecederaan itu adalah bersandarkan kepada keberangkalian paling mungkin,” katanya.

Jumaat lalu, Cik Miera meninggalkan hantaran di ruangan komen berita dalam talian berhubung kecederaan yang dialami Muhammad Adib.

Dalam hantaran itu, Cik Miera yang mengaku sebagai kakitangan IJN yang terlibat merawat Muhammad Adib, tidak bersetuju dengan keterangan Ahmad Hafizam yang mengatakan bahawa kecederaan anggota bomba itu tidak bersepadanan dengan cedera akibat dipukul.

“Mungkin anda tidak melihatnya dari hari pertama arwah dibawa ke sini (IJN), tetapi kami melihatnya.

“Kami melihat wajahnya! Kami melihat lebam, seluruh tubuhnya dan begitu banyak perkara yang saya tidak boleh beritahu di sini. Kami tidak buta, begitu juga anda,” katanya. – Sinar Harian

Loading...