Inkues Adib: Polis, FRU Gagal Suraikan Rusuhan

SHAH ALAM – Kegagalan polis dan pasukan simpanan persekutuan (FRU) mengawal serta menyuraikan rusuhan turut menyumbang terhadap kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, adalah amat malang polis dan dua kumpulan FRU yang mempunyai kekuatan ratusan anggota dan pelbagai peralatan seperti ‘water canon’ tidak berbuat apa- apa terhadap perusuh yang menyerang jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JPBM.

“Mereka (FRU) hanya bersiap siaga dengan senjata masing- masing di dalam kenderaan biarpun situasi pada ketika itu meruncing,” katanya.

Menurutnya, saksi yang juga pegawai medan mengakui melihat dengan mata sendiri kegilaan perusuh yang bertindak ganas terhadap FRT dan EMRS.

“Ketua Polis Daerah (OCPD) yang gagal dihubungi dan mereka gagal mengambil tindakan mengikut Akta Polis,” katanya dalam menyampaikan keputusan inkuiri kematian Muhammad Adib.

Beliau berkata, sekiranya tindakan awal telah diambil insiden itu tidak akan berlaku.

“Alasan datang tengok sahaja dan tidak mempunyai kekuatan anggota mencukupi adalah pada saya tidak bermuafakat,” katanya.

Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusannya pagi tadi selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

“Saya merumuskan bahawa kecederaan lung chest trauma yang dialami Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri,” katanya.

Menurutnya, kegagalan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keadaan semasa turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

“Polis gagal mengawal perusuh yang menyerang FRT dan EMRS sebaik sahaja sampai ke lokasi untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Sehubungan itu, Rofiah berkata, mahkamah menyerahkan dapatan tersebut kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan sekiranya diperlukan.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Loading...