Inkues Adib: Mahkamah Koroner Lawat Kuil Esok

KORONER dan pihak terlibat dalam inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akan melawat lokasi kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 Subang pukul 10.30 pagi esok.

Perkara itu diputuskan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner dalam prosiding inkues itu hari ini.

Peguam keluarga Muhammad Adib, Mohd Kamaruzaman A Wahab ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu, tiga saksi yang memberi keterangan hari ini juga akan dibawa ke lokasi kejadian.

“Lawatan ini kita nak tengok di mana lokasi kejadian sebenar dan gambaran sebenar mencakupi sudut kedudukan kenderaan (jentera Fire Rescue Tender dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebagainya,” katanya.

Ditanya sama ada kedua-dua kenderaan bomba itu akan turut dibawa ke lokasi kejadian semasa lawatan, Mohd Kamaruzaman tidak dapat memberi kepastian.

Dalam kejadian pada 27 November lepas, Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak kuil berkenaan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember. – BERNAMA