Inisiatif #MalaysiaKerja Wujud 350,000 Peluang Pekerjaan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan menjangkakan program #MalaysiaKerja akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun.

“Program ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada seramai 130,000 orang pekerja asing,” katanya.

Menurutnya program itu dijangka melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya #MalaysiaKerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif.

Beliau berkata, program pertama, #GraduanKerja direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan dengan setiap graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima.

“Majikan pula akan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan juga bagi tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata #WanitaKerja pula bertujuan mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun untuk wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih.

Di bawah #WanitaKerja katanya, wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama.

“Sebagai tambahan, pengecualian cukai pendapatan bagi wanita yang kembali bekerja akan dilanjutkan empat tahun lagi sehingga tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata, #WatanKerja pula adalah program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalihkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

“Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama,” katanya.

Menurutnya, di bawah #PerantisKerja pula adalah insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus itu.

Justeru, beliau berkata kerajaan juga akan melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi tempoh dua tahun lagi.

“Sebagai tambahan, potongan cukai dua kali yang telah diberikan kepada syarikat yang melaksanakan Program Internship Berstruktur (SIP) yang diluluskan oleh TalentCorp bagi pelajar yang mengikuti bidang kejuruteraan dan teknologi akan diperluaskan kepada semua bidang akademik yang lain,” katanya.

Beliau berkata kerajaan percaya menerusi program #MalaysiaKerja, warga Malaysia yang menganggur akan menguasai kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan dengan syarikat yang relevan serta peratusan pengekalan pekerja selepas tempoh dua tahun insentif tamat melebihi 90 peratus.

“Ini akan membina modal insan daripada kalangan penganggur untuk menjadi pekerja yang berdikari dan menyumbang secara produktif kepada pasaran buruh,” katanya.

Menurutnya, inisiatif #MalaysiaKerja akan disediakan oleh kerajaan dan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di mana insentif gaji tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP kecuali bagi program #PerantisKerja.

Inisiatif ini juga akan diintegrasikan dengan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) serta program pasaran buruh aktif yang lain, katanya.

Loading...