Inikah Wajah Terbaharu Celine Dion?

TUBUH yang kurus selain wajah cengkung Celine Dion mencetus persoalan dalam kalangan penghibur tersohor dunia itu.

Kemunculan janda berusia 50 tahun itu di kota fesyen Paris bebeberapa hari lalu menyebabkan lensa kamera jurugambar serta netizen tertumpu padanya kerana wajah Dion benar-benar berbeza berbanding sebelum ini.

Di laman-laman sosial, netizen mula mempersoalkan kenapa penyanyi My Heart Will Go On itu terlalu kurus?

Apakah Dion sedang menderita sakit? Adakah dia menyedari perubahan pada dirinya?

Persoalan dan tanda tanya ramai itu dijawab oleh penghibur kelahiran Kanada itu yang memberitahu, dia berasa sangat selesa dengan penampilan terbaharunya itu.

Bahkan, Dion secara peribadi menegaskan, dia tidak mempunyai masa untuk melayan apa sahaja kritikan atau pandangan negatif mengenai personalitinya.

Barangkali, Dion tidak menyedari perubahan berlaku pada dirinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih-lebih lagi selepas kematian suaminya, Rene Angelil selepas bertarung dengan kanser pada 14 Januari 2016.

Dalam temu bual dengan media antarabangsa baru-baru ini, Dion berkata, perubahan yang berlaku padanya atas kehendak diri sendiri.

“Saya lakukan (perubahan) untuk diri sendiri. Saya mahu jadi lebih yakin, cantik, feminin dan seksi,” kata Dion kepada The Sun dalam wawancara.

Sehubungan itu, Dion enggan isu berat badannnya menjadi bahan perbincangan.

“Sekiranya saya suka, saya tidak akan bercakap mengenainya. Jangan peduli. Jangan ambil gambar,” tegasnya.

Tambah Dion lagi: “Sekiranya anda suka, saya ada di sana. Jika anda tidak suka, tinggalkan saya sendirian.” – Agensi

Loading...