Ini Bukan Mohamed Salah, Tapi Hussein Ali…

BAGHDAD – Menerusi penampilan berjambang, rambut kerinting dan jersi bola sepak, penyerang Iraq, Hussein Ali sering disangka sebagai bintang Mesir, Mohamed Salah.

Di Baghdad, ibu negara Iraq, pemuda berusia 20 tahun itu sering ditahan di kawasan kejiranannya di Hurriya oleh orang ramai yang mahu bergambar dengan idola mereka.

Biarpun dia sendiri penyerang kelab tempatan Al-Zawraa, wajah Hussein yang seiras Mohamed berjaya menarik perhatian ramai penduduk Iraq sendiri.

“Pada sesi latihan pertama, dia memperkenalkan dirinya sebagai ‘Hussein Ali’. Saya berkata, ‘Tidak, tidak, anda adalah Mohamed Salah’,” kata jurulatih Ali, Adnan Mohammad.

Sewaktu Mohamed beraksi bersama kelab AS Roma di Itali, Hussein menyedari betapa wajah mereka seiras tetapi menganggap komen itu sebagai bahan jenaka.

Namun apabila Mohamed mencipta nama di pentas global menerusi Liga Perdana Inggeris dan menjadi ‘pemain bola sepak nombor satu Arab’, Hussein mula memberi perhatian terhadap imejnya.

Sejak itu dia mula menyarung jersi Liverpool, kelab ternama Inggeris yang dianggotai Mohamed.

“Ini jersi sebenar, dibeli daripada pembekal rasmi,” katanya yang membelinya dengan harga AS$40 (RM159).

Kini ‘Mohamed Salah Iraq’ sering ditahan untuk bergambar dan didekati peminat bola sepak yang menyangka dirinya sebagai bintang Mesir itu.

“Sewaktu Mohamed cedera, ramai yang datang melawat saya seolah-olah saya yang derita. Di kawasan kejiranan saya, sepanjang tempoh beberapa hari mereka yang terserempak saya mendoakan saya segera sembuh,” katanya sambil ketawa.

“Kami bermain di posisi sama dan saya akan lakukan segala-galanya untuk meniru cara permainannya.”

Bagi Ali, harapannya satu hari nanti adalah bertemu dengan wiranya: “Impian hidup saya adalah bertemu Mohamed Salah. Mungkinkan dia akan menjemput saya ke Piala Dunia Rusia?”AFP

Loading...