“Ini Bersatu…UMNO, Jadi Kenapa Kamu Ikut?”

KOTA KINABALU – Seorang lelaki menyamai Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal mengkritik Bersatu sebagai versi lain UMNO dalam satu klip video yang tersebar di negeri itu.

Menerusi klip itu, lelaki terbabit dilihat berbual dengan beberapa wanita yang dipercayai cuba mendapatkan pandangannya untuk menyertai Bersatu.

“Ini Bersatu, (seperti) UMNO… Jadi, kenapa kamu ikut Bersatu?” soalnya.

Seorang pembantu Shafie ketika dihubungi berkata, presiden Warisan itu tidak mahu mengulas mengenai video itu.

Dalam klip itu, lelaki terbabit memberitahu beberapa wanita berkenaan, tindakan menyertai Bersatu bermakna mereka menyokong Ketua Bersatu Sabah, Hajiji Noor.

“Siapa yang memerintah? Hajiji ataupun saya memerintah? Siapa yang hasut sama kau masuk Bersatu?” soalnya sambil berkata Warisan akan mempertahankan hak orang Sabah dan negeri itu di bawah persekutuan Malaysia.

Hajiji yang merupakan bekas ketua UMNO Sabah mengetuai 14 wakil rakyat, 2 senator dan 21 ketua bahagian di negeri itu meninggalkan UMNO pada Disember lalu.

Dalam video itu, lelaki berkenaan berkata, beliau akan menjadi timbalan presiden, jika menyertai Bersatu.

“Saya dipujuk oleh Tun Mahathir pun saya tidak mahu. Jawatan tinggi lagi, (tetapi itu) bukan jawatan saya mahu pegang,” katanya merujuk Dr. Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu.

Bersatu Sabah dilancarkan 6 April lalu.

Langkah Bersatu melebarkan sayap ke Sabah pada awalnya dibantah pemimpin Warisan, termasuk Shafie yang kemudiannya berkata, ia adalah hak Bersatu untuk menubuhkan cawangan di negeri itu. – FMT