Inggeris Bahasa Rasmi 59 Negara, Mandarin Jatuh 1 Anak Tangga

KUALA LUMPUR – Sebanyak 59 daripada 195 buah negara menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang digunakan untuk urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan.

Jumlah tersebut menjadikan bahasa tersebut menduduki tangga teratas sebagai paling meluas digunakan untuk tujuan rasmi diikuti dengan Perancis sebanyak 39 buah negara dan Arab 25.

Berdasarkan laporan ringkas The Spectator Index menerusi akaun Twitternya, bahasa Sepanyol menjadi bahasa rasmi bagi 21 buah negara diikuti Portugis 10, Jerman enam dan Rusia empat.

Sementara itu, North Carolina State University di Amerika Syarikat menyenaraikan negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi bagi pentadbiran dan pengantar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Antaranya ialah, Ghana, Jamaica, Malawi, Nigeria, Papua New Guinea, Sierra Leone, Afrika Selatan, Tanzania, Uganda dan Zimbabwe.

Singapura pula menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan pentadbiran dan pengantar di sekolah dan IPT biarpun asal bahasa rasminya adalah Melayu.

Bagaimanapun Mandarin tidak tersenarai dalam bahasa rasmi paling banyak digunakan tetapi diletakkan pada tangga ketiga dalam kategori bahasa paling berpengaruh di dunia pada 2018 berbanding tempat ke dua pada 2017.

Menurut laporan portal TELC Language Test, bahasa Inggeris bukan sahaja digunakan dalam urusan rasmi bagi 59 negara sahaja malah menduduki tangga pertama paling berpengaruh di dunia.

Mengikut turutan, bahasa Perancis menduduki tempat kedua dikuti Mandarin, Sepanyol, Rusia dan Arab. Sementara bahasa Hindi pula menduduki tangga ke-10 di bawah Portugis dan Jepun.

Berdasarkan laporan portal tersebut, beberapa faktor diambil kira untuk menentukan kedudukan bahasa dalam cartanya termasuklah kemudahan untuk pengembaraan, pekerjaan, komunikasi dan media serta hubungan diplomatik.

Loading...