Ingatlah, Anda Senator Bukan Dipilih Rakyat!

TEGUR… Datuk A. Kadir Jasin menasihati dua menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) agar berhati-hati dalam setiap tindakan dan dengar nasihat…

TEGUR… Datuk A. Kadir Jasin menasihati dua menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) agar berhati-hati dalam setiap tindakan dan dengar nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tokoh Wartawan Negara dan juga Ahli Majlis Tertinggi PPBM itu dalam tulisan menerusi blognya menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Mengulas lanjut, A Kadir berkata, tindak-tanduk Waytha Moorthy berhubung rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya dilihat tidak bantu kukuhkan perpaduan nasional seperti nama portfolio jawatan yang dipegangnya itu.

“Mahathir sudah nasihati beliau. Tapi Perdana Menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun ada orang tidak sedar. Jadi Waytha Moorthy yang belum lama kenal beliau, janganlah ‘gung-ho‘ selesa sangat dengan kedudukan.

“Ingatlah, anda bukan pun dipilih oleh rakyat jelata. Anda hanyalah Senator lantikan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum diangkat menjadi menteri oleh Mahathir,” kata bekas ketua editor akhbar The New Straits Times tersebut.

“Tolonglah jangan malukan raja kita dan perdana menteri kita,” tambah A Kadir dalam nada sinis merujuk isu pertikaian kuil itu sambil pelawa Waytha Moorthy meninggalkan komen jika tidak puas hati dengan catatannya.

Dalam pada itu, beliau yang juga penasihat khas media dan komunikasi kepada perdana menteri turut meminta Maszlee agar lebih memahami teguran Mahathir berhubung isu ‘sekolahagamakan’ imej sekolah kebangsaan (SK).

Ujarnya, sebagai orang akademik, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu patut lebih peka dengan situasi semasa iaitu ibu bapa bukan Melayu tidak lagi mahu hantar anak belajar di SK kerana lihat ia sama sahaja seperti sekolah agama.

“Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tidak pula tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu ketika ini kurang berminat untuk hantar anak mereka ke SK kerana sekolah tersebut sudah jadi macam sekolah agama?

“Di pihak lain pula, makin banyak ibu bapa Melayu hantar anak ke sekolah Cina kerana mahu anak mereka lebih berjaya,” ujarnya merujuk SK perlu kembali tujuan asal untuk jadi sekolah penyatuan semua bangsa dan agama.

Bercerita lebih lanjut, A Kadir berkata, beliau setakat ini hanya menyebut nama Waytha Moorthy dan Maszlee, tetapi tidak bermakna menteri lain sudah berjaya disebabkan kali ini bukan giliran mereka ‘disekolahkan’ beliau.

“Anggaplah saya sekadar seorang guru pelawat tua yang cuma duduk di belakang kelas sambil memerhatikan tindak-tanduk dan kelakuan mereka (menteri),” ujar beliau lagi. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...