Indonesia Timbang Denda LGBT Ganggu Ketenteraman Awam

PADANG – Sebuah bandar di Indonesia merancang untuk mengenakan denda satu juta rupiah (RM290) ke atas komuniti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) yang mengganggu ketenteraman awam.

Awal minggu ini, bandar Pariaman di pulau Sumatra meluluskan undang-undang mengharamkan ‘perlakuan yang dianggap cenderung LGBT’ itu.

Undang-undang yang disifatkan AFP sebagai melarang ‘perbuatan tidak bermoral’ di antara pasangan sama jantina dan menegah penduduknya untuk berkelakuan seperti seorang transeksual, tidak pula memperincikan contoh perlakuan terlarang itu.

“LGBT sama jantina dan transeksual akan dikenakan sekatan dan denda jika mereka mengganggu ketenteraman awam,” kata ketua penguasa tempatan Fitri Nora.

Timbalan Datuk Bandar Pariaman, Mardison Mahyudin berkata peraturan baru itu tercetus akibat ‘kebimbangan’ terhadap komuniti LGBT Indonesia.

Beberapa bandar di wilayah Sumatera Barat, termasuk Pariaman, sudah mengambil langkah perlu untuk meminggirkan kumpulan LGBT dan kerajaan wilayah memanggil mesyuarat khas pada Khamis lalu untuk membincangkan isu terbabit.

Susulan pertemuan itu, Gabenor Irwan Prayitno berkata pegawai dan pihak yang berkenaan sedang mencari penyelesaian masalah LGBT bagi seluruh wilayah.

“Sekurang-kurangnya, kami cuba menghalang angka komuniti ini daripada meningkat,” kata Prayitno kepada AFP. – AFP

Loading...