PALU, Indonesia – Sukarelawan-sukarelawan Indonesia mula mengebumikan sejumlah mayat mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi di dalam sebuah kubur besar yang mempunyai ruang untuk lebih 1,000 jenazah semalam.

Indonesia bukan asing dengan bencana alam dan Jakarta seboleh-bolehnya mahu menunjukkan bahawa ia berupaya menangani bencana itu yang menurut angka rasmi mengorbankan lebih 844 orang.

Bagaimanapun, selepas empat hari berlalu, sebahagian kawasan di pedalaman masih belum dapat dihubungi, ubat-ubatan pula makin berkurangan, malah pasukan penyelamat turut dibebani masalah kekurangan jentera berat ketika cuba sampai kepada mangsa yang menjerit dari bawah runtuhan bangunan-bangunan.

Justeru, Presiden Joko Widodo yang lebih popular dengan panggilan Jokowi membuka pintu kepada puluhan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang me­nunggu untuk menghulurkan pertolongan.

“Malam tadi, Jokowi membenarkan kami menerima bantuan antarabangsa untuk bantuan dan tindakan bencana,” kata pegawai kanan pemerintah, Tom Lembong di laman Twitter semalam.

Pemerintah bimbang angka kematian akan naik mendadak dalam masa beberapa hari lagi dan bersiap sedia menghadapi senario terburuk dengan mengisytiharkan darurat selama 14 hari.

Di Pobova iaitu kawasan berbukit-bukau dekat bandar Palu, sukarelawan-sukarelawan mula mengisi sebuah kubur besar dengan mangsa yang maut dalam bencana berkembar itu. Mereka menerima arahan untuk menyediakan kubur bagi mengebumikan seramai 1,300 mangsa.

Pihak berkuasa kini terdesak untuk mengekang sebarang wabak yang mungkin berlaku akibat mayat-mayat mereput.

Dalam perkembangan berkaitan, dua mangsa masih hidup dikeluarkan dari bawah runtuhan Hotel Roa-Roa di Palu, kata agensi mencari dan menyelamat Indonesia, manakala pihak berkuasa percayai lebih ramai mangsa masih hidup terperangkap di bawah runtuhan itu. 
– AFP/KOSMO ONLINE

Loading...