Individu Rasuah Sultan Johor Serah Diri Di SPRM

PUTRAJAYA – Individu dipercayai cuba merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berhubung anugerah darjah kebesaran membawa gelaran ‘Tan Sri’, menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, berkata lelaki berusia 54 tahun itu tiba di pejabat SPRM di sini, beberapa jam selepas beliau memberi amaran akan mendedahkan identiti termasuk mengedarkan gambarnya melalui media jika enggan menyerah diri.

Katanya, ketika ini siasatan sedang dijalankan ke atas suspek terbabit yang didakwa cuba menawarkan RM2 juta kepada Sultan Ibrahim sebagai dorongan mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Sama ada suspek ini akan dikenakan reman atau tidak, kita akan tentukan esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, tinjauan pihak media di perkarangan ibu pejabat SPRM di sini mendapati peguam suspek tiba di hadapan bangunan SPRM sekitar jam 5.30 petang semalam dan difahamkan suspek berkenaan yang berusia 54 tahun sudah menemui pegawai SPRM tengah hari semalam.

Pagi tadi, pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM 2016, Azam memberi tempoh sehingga 12 tengah malam ini kepada suspek, yang hanya didedahkan sebagai berketurunan Cina dan berkepala botak, untuk menyerah diri.

Pada Isnin lalu, Sultan Ibrahim menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dan beberapa pegawai kanan berhubung maklumat individu yang terbabit berkaitan rasuah untuk mendapatkan darjah kebesaran berkenaan. – BH Online

Loading...