Individu Hina Agong Akhirnya Mohon Maaf

INDIVIDU yang dikecam hebat oleh netizen gara-gara ‘kelancangan’ komennya terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V, akhirnya akur dengan kesalahan dan memohon maaf.

Mohd Faiz mengemukakan permohonan maaf secara rasmi menerusi akaun Facebooknya pada Sabtu dan mengakui keterlanjuran menulis status yang berbaur kritikan terhadap YDPA.

Jelas Mohd Faiz, status itu ditulis atas dasar ingin memberikan pendapat, dengan harapan ia sedikit sebanyak berguna untuk menambah baik pentadbiran dan kepemimpinan di negara ini.

Status itu antara lain menyebut seorang YDPA bukan sahaja perlu mempunyai sikap soleh spiritual, tetapi juga soleh sosial.

Kaitan: Dia Rajin Solat, Rakyat Dapat Apa? – Lelaki Hina Agong

Meskipun Mohd Faiz cuba menyampaikan pendapatnya secara umum, namun dalam status terdahulu yang dimuat naik pada Jumaat itu malangnya tidak disertai bahasa yang santun, serta menggambarkan nilai budi bicara yang tidak elok.

Individu Hina Agong Akhirnya Mohon Maaf

Katanya, tidak pernah terlintas di fikirannya mahu menjatuhkan apa lagi bersikap biadab dengan terhadap Sultan Muhammad V yang baru seminggu memegang tampuk pemerintahan negara.

“Langsung tiada niat diri ini menghina YDPA dan institusi Raja-Raja, adapun cuma mahu melihat kuasa Majlis Raja-raja diperkukuhkan dalam menjaga institusi Islam dan Melayu di Malaysia ini.

“Itulah yang dimaksudkan dengan Kesolehan Sosial yang saya suarakan sebelum ini. Institusi Raja bukan sahaja Soleh Spiritual, malah Soleh Sosial (dengan maksud mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial),” tulis Mohd Faiz.

Sementara itu, PAN memaklumkan pihaknya tidak dapat mengenal pasti jika Mohd Faiz merupakan ahli daripada parti serpihan PAS itu.

Ini berikutan dalam salah satu gambar yang diletakkan di akaun Facebooknya, Mohd Faiz berdiri di sebelah poster parti PAN. – MYNEWSHUB.CC

Loading...