India Tak Pernah Keluar Kenyataan Boikot Minyak Sawit

PUTRAJAYA – Menteri Industri Utama, Teresa Kok memberi jaminan tidak perlu risau tentang India memboikot minyak sawit Malaysia.

Sebaliknya, beliau berkata, dengan populasi hampir 1.3 bilion orang hanya segelintir pihak yang membuat usul sedemikian, manakala banyak syarikat yang mahu menjalin kerjasama dengan syarikat Malaysia.

“Lagipun kita tidak pernah dengar kerajaan India mengeluarkan sebarang kenyataan mahu memboikot daripada membeli minyak sawit kita. Tidak ada apa-apa seperti itu.

“Dengan populasi 1.3 bilion itu, banyak lagi syarikat yang berminat untuk bekerjasama dengan kita di India.

“Malah mengikut pasaran prestasi kita di India sehingga Disember 2019, dijangka ada peningkatan sehinga 80 peratus minimum berbanding statistik import India pada 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Bohai Commodity Exchange Malaysia /ASEAN dengan Hakan Agro DMCC dan BOCE Global dari India.

MoU itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Pemeteraian MoU ini juga menjurus kepada penembusan permintaan tambahan pasaran minyak sawit Malaysia ke luar negara, khusunya India dan China.

Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia sebelum ini, India mengimport  3.9 juta tan minyak sawit Malaysia dalam sembilan bulan pertama tahun ini, dengan import bulanan sebanyak 433,000 tan.

Kata Teresa, pemeteraian MoU itu membuktikan isu boikot minyak sawit di India tidak berlaku dan ia juga tidak perlu menimbulkan kerisauan dan rasa tidak senang seperti yang wujud sebelum ini. – MalaysiaGazette

Loading...