India Dominasi Senarai Bandar Paling Tercemar Di Dunia

MENURUT kajian terbaharu agensi yang memantau kualiti udara, AirVisual, sejumlah 22 daripada 30 bandar paling tercemar di dunia terletak di India, malah dalam kelompok 10 teratas, tujuh kedudukan diisi oleh bandar-bandar dari negara Asia Selatan itu.

Gurugram, di pinggir bandar New Delhi, merupakan bandar paling tercemar di dunia, menurut Greenpeace dan AirVisual, yang turut melaporkan bahawa bandar tersebut mempunyai purata indeks kualiti udara (AQI) setinggi 135.8 pada tahun 2018, lapor CNN.

Tahap itu merupakan tiga kali paras yang diiktiraf sebagai selamat oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat.

Dalam dua bulan pada tahun lepas, AQI di Gurugram melebihi paras 200. EPA melihatnya sebagai paras yang sangat membahayakan dan memberi amaran bahawa penduduk yang terdedah boleh mengalami kesan kesihatan yang serius.

Menurut laporan AirVisual, pencemaran udara akan menyebabkan sebanyak 7 juta kematian awal di seluruh dunia pada tahun depan, serta menyebabkan kesan besar terhadap ekonomi.

“Pencemaran udara mencuri kehidupan dan masa depan kita.

“Selain daripada kemerosotan hidup manusia, ia juga menyebabkan kos anggaran AS$225 bilion dalam kehilangan tenaga kerja serta AS$1 trilion lagi dalam kos perubatan.

“Ia mendatangkan banyak kesan negatif, bukan sahaja kepada kesihatan kita, tetapi juga kepada dompet kita,” kata Yeb Sano, Pengarah Eksekutif Greenpeace Asia Tenggara.

Dalam 3,000 bandar yang tersenarai, 64 peratus daripadanya mengatasi paras yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk pelepasan PM2.5.

PM2.5 merangkumi pelbagai bahan pencemar seperti sulfat, nitrat dan karbon hitam yang boleh diserap dalam paru-paru serta sistem kardiovaskular.

Selain Asia Selatan, kawasan lain yang turut paling tercemar merupakan Asia Tenggara di mana 95 peratus daripada kawasannya mengatasi paras PM2.5 yang selamat.

Antara negara yang mencatat kemerosotan dari segi kualiti udara pada tahun 2018 adalah Indonesia, Vietnam dan Thailand. – Agensi

Loading...