India Diramal Negara Paling Ramai Penduduk 2024

23

NEW DELHI – India dijangka mengatasi China untuk menjadi negara dengan jumlah penduduk paling ramai di dunia menjelang 2024.

Menurut ramalan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), pada masa ini China ada 1.4 bilion penduduk mewakili sebanyak 19 peratus penduduk dunia manakala India dengan 1.3 bilion penduduk, iaitu mewakili 18 peratus.

“Dalam masa kira-kira tujuh tahun lagi atau pada 2024, jumlah penduduk di India dijangka mengatasi penduduk China,” demikian menurut laporan bertajuk ‘Prospek Populasi Dunia: Semakan 2017’ yang diterbitkan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB.

Jumlah semasa penduduk dunia sebanyak 7.6 bilion, dijangka meningkat kepada 8.6 bilion pada 2030. Pada tahun 2050 pula, jumlahnya bakal naik kepada 9.8 bilion dan menjelang penghujung abad ini, jumlah penduduk dunia dijangka mencecah 11.2 bilion.

Berdasarkan laporan itu, penduduk India dijangka mencecah 1.44 bilion pada 2024, 1.5 bilion menjelang 2030 dan 1.66 bilion pada 2050.

China dan India pada dasarnya akan mempunyai jumlah penduduk yang hampir sama dalam tempoh tujuh tahun lagi, namun China dijangka mengalami kemerosotan dari segi bilangan penduduk selepas tahun 2030.


Dengan pertambahan kira-kira 83 juta penduduk dunia setiap tahun, aliran peningkatannya dijangka berterusan, kata laporan itu.

Sementara itu Nigeria, negara ketujuh paling banyak penduduk, bakal mengatasi Amerika Syarikat (AS) dan dijangka menjadi negara ketiga memiliki paling banyak penduduk sebelum tahun 2050.

Kajian PBB itu mendapati, separuh daripada pertumbuhan penduduk dunia sepanjang tiga dekad akan datang dijangka tertumpu di sembilan negara iaitu India, Nigeria, Republik Demokratik Congo, Pakistan, Habsyah, Tanzania, AS, Uganda dan Indonesia. – BERNAMA