Indeks Jenayah Sabah Turun 2% Setakat Bulan Lalu

KOTA KINABALU – Indeks jenayah di Sabah dari Januari hingga 30 November tahun ini menurun kepada 5,597 kes berbanding 5,734 kes dalam tempoh sama tahun lalu, iatu penurunan sebanyak 2.39 peratus.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata daripada jumlah kes yang direkodkan antara Januari hingga 30 Nov 2018, sebanyak 3,503 kes atau 62.59 peratus berjaya diselesaikan.

“Keadaan (pencapaian) ini jauh melangkaui sasaran kadar penyelesaian kes yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan iaitu sebanyak 45 peratus,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata polis Sabah kini menahan reman dua wanita bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan penjualan tiket kapal terbang tambang murah melibatkan 71 mangsa dengan jumlah kerugian kira-kira RM162,285.

Wanita berumur 33 dan 37 tahun berkenaan ditangkap di kawasan Kota Kinabalu antara 25-26 November selepas polis menerima aduan pertama daripada salah seorang mangsa pada 23 November lalu.

Katanya mangsa itu membuat laporan polis selepas dia membayar RM6,000 melalui akaun yang diberikan oleh sindiket untuk tempahahan tiket kapal terbang namun mangsa tidak menerima tiket berkenaan.

Omar berkata modus operandi sindiket yang aktif sejak Ogos lalu itu ialah dengan membuat promosi di media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram serta menawarkan ganjaran antara RM50-RM150 kepada agen yang memperkenalkan pelanggan baharu kepada sindiket.”

“Jangan mudah percaya ataupun terpedaya dengan dengan tambang murah yang dikenakan…belilah tiket kapal terbang di syarikat yang betul,” nasihat Omar.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Loading...