Impian Anak Pemandu Lori Ke MRSM Tercapai

NIBONG TEBAL – Pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Muhammad Aiman Afiq Mohd Basri akhirnya dapat menarik nafas lega kerana impiannya untuk melanjutkan pengajian menengah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tercapai.

Malah, lebih menggembirakan Muhammad Aiman Afiq, 12, yang mesra disapa Aiman, menerima surat tawaran ke MRSM Transkrian itu daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun yang hadir ke rumahnya di Taman Puteri Gunung, di sini hari ini.

Kisah Aiman yang mendapat 6A dalam UPSR menjadi tular selepas anak pemandu lori itu dengan pendapatan RM1,000 sebelum ini gagal ditempatkan ke MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Muhammad Aiman Afiq berkata beliau bersyukur dan sangat gembira selepas impiannya untuk menyambung pelajaran ke MRSM tercapai dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib keluarganya pada masa hadapan.

“Alhamdulillah memang tak sangka akan dapat ke MRSM kerana ini memang impian saya sejak Tahun Lima…lagi gembira Datuk Seri Rina sendiri yang hadir memberi surat tawaran hari ini, saya bersyukur sangat. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Rina menyerahkan surat tawaran kemasukan ke MSRM Transkrian kepada Muhammad Aiman Afiq.

Ibu Muhammad Aiman Afiq, Rashidah Ali, 45, berkata anak sulung daripada dua beradik itu sering menyatakan hasrat untuk memasuki MRSM atau SBP jika memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

“Aiman pada mulanya bimbang kerana tahu ayahnya tidak mampu membiayai kos pendidikan sekiranya dia ke sekolah itu, tetapi melalui caranya bersembang, saya tahu dia teringin sangat nak masuk ke sekolah berkenaan.

“Bila dia semak namanya tiada, dia sedikit kecewa tapi semalam selepas diberitahu diterima masuk MRSM Transkrian, Aiman sangat gembira,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan pihak berkaitan yang membantu mereka.

Sementara itu, Rina berkata Muhammad Aiman Afiq sebenarnya bukan tidak terpilih untuk ke MRSM tetapi senarai namanya sedikit lambat berada dalam sistem kerana pihak MRSM masih mengemas kini data pelajar.

“Saya harap kemasukan Aiman ke MRSM bukan sahaja dapat membantu mengubah nasib keluarganya malah mencapai cita-cita beliau untuk menjadi juruterbang,” katanya. – BERNAMA

Loading...