Imam Masjid Al-Aqsa Jadi Tetamu Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima tetamu istimewa di rumahnya, iaitu Imam Masjid Al-Aqsa, Imam Ali Omar Yacoub Abbasi.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Ahli Parlimen Pekan itu dalam akaun Facebook beliau berserta beberapa gambarnya bersama Ali Omar.

Jelas Najib, beliau dan tetamunya itu pernah berjumpa pada tahun 2015.

“Hari ini saya ada tetamu istimewa. Imam Masjidil Al-Aqsa, Imam Ali Omar Yacoub Abbasi ada di rumah saya.

“Imam Ali Omar memaklumkan kepada saya, beliau kerap bertanyakan perkembangan saya kepada rakyat Malaysia yang pernah menziarahi Masjidil Al-Aqsa,” kata Najib dalam akaun media sosialnya itu.

Menerusi beberapa gambar yang dikongsikan Najib, Ali Omar turut menjadi imam solat berjemaah yang diadakan semasa pertemuan tersebut dengan turut disertai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki.

Dalam perkongsian tersebut juga, Najib turut mengajak bersama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat.

“Solat tiang agama. Jangan kita lupakan diri dan agama. Sama-sama kita doakan kesejahteraan rakyat. Semoga perjalanan kehidupan kita berjaya mendapat redha Allah di dunia dan akhirat,” kata Najib. – UTUSAN ONLINE

Loading...