Ikutkan Hati, Saya Pun Marah Najib

MAAF… Saya pernah terasa hati kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 waima saya ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Ketua Bahagian.

Tidak perlulah saya ulas lanjut di sini. Tetapi antara kebenaran dan persepsi saya tetap mengutamakan kebenaran bukannya persepsi. Kita mengakui Najib mangsa persepsi. Tetapi kenapa kita mesti mengalah dengan persepsi.

Kenapa kita mesti tuding jari pada Najib sehingga dakwa konon kehadiran Najib berkempen menyebabkan Lokman Adam kalah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis. Apa jaminan Lokman menang kalau Najib tidak datang?

Kajian mana diguna untuk mendakwa kehadiran Najib menjadi punca Lokman kalah. Di PRU ke-14, Sungai Kandis, calon UMNO dapat lebih kurang 11,000 undi. Tetapi di PRK baru-baru ini Lokman cuma dapat dalam 9,000 undi.

Itu bermakna merosot dalam 2,000 undi. Maka apa asas untuk mengatakan kemerosotan undi itu berpunca daripada kehadiran Najib. Sebenarnya kita yang bina persepsi dan membiarkan persepsi terus bermaharajalela.

Jangan lupa, tidak semestinya dakwaan di mahkamah yang belum ditentukan kebenarannya punca persepsi negatif. Kita lupa, tingkah laku kita, kemewahan kita, lifestyle kita yang over juga cipta persepsi yang merosakkan imej parti.

Persepsi buruk ini terkumpul sekian lama dan akhirnya rakyat hukum UMNO. Kenyataan terbuka bahawa UMNO tidak perlu membela Najib juga “very unnecessary”. Kalau ada ahli UMNO dilanda musibah, salahkah parti bela ahli itu.

Dalam kes Najib, dia bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri. Salahkah kita menunjukkan solidariti terhadap beliau. Lagi pun dia belum dibuktikan salah. Sebab itu ahli membuat pungutan dana untuk ikat jamin.

Itu juga satu bentuk pembelaan. Apakah tidak perlu dibela juga bermakna tidak perlu menjawab tuduhan liar terhadap Najib walaupun kita memang ada fakta mengenai tohmahan tersebut.

Ada juga yang kata, jangan samakan Najib dengan kes Lim Guan Eng dari DAP. Adilkah sikap begitu? Kenapa apologetik. Jangan kerana ketidak upayaan menjawab dan kalah dalam perang persepsi, maka kita biarkan musuh sesuka hati mencipta persepsi buruk sehingga kebenaran kita gadaikan.

Kita juga kata, Najib yang didakwa bukannya UMNO yang didakwa. Maka biarkan beliau menghadapinya sendiri. Ini juga tidak patut. Jangan lupa UMNO sudah lama didakwa dan dibicarakan oleh rakyat.

Rakyat sudah lama menjatuhkan hukuman bersalah kepada UMNO kerana tingkah laku kita sendiri. Cuma pemimpin UMNO berbagai peringkat tidak mahu mengaku salah dan tidak berubah.

Akhirnya pada PRU ke-14, mereka menjatuhkan hukuman berat kepada BN. Semoga kita tidak tersalah mencari musuh. Carilah apa yang salah, bukan siapa yang salah. – Mynewshub.

Loading...