IKATAN Isytihar Sokongan Tak Berbelah Bahagi Terhadap BERSATU

KENYATAAN AKHBAR BERTARIKH 25 FEBRUARI 2020 DI KUALA LUMPUR OLEH TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA ABDUL KADIR BIN HJ SHEIKH FADZIR, PRESIDEN PARTI IKATAN BANGSA MALAYSIA (IKATAN)

1. Dewan Tertinggi Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) telah pun mengadakan mesyuarat khas pada hari ini untuk membincangkan soal perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia pada hari ini.

2. Dewan Tertinggi sangat terkejut dan tersangat bimbang dengan perletakan jawatan Tun ini, yang memang sudah tentu akan merencatkan momentum pembangunan yang sedang beliau terajui ketika ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi Malaysia yang begitu membimbangkan.

3. Pada 19 Mac 2019, Parti Ikatan telah pun mengadakan suatu Sidang Akhbar di mana kami telah menghebahkan pengisytiharan Parti Ikatan Bangsa Malaysia untuk berdiri teguh dan bersolidariti dengan pimpinan dan perjuangan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Kami berikrar akan berdiri teguh di belakang pimpinan Tun dan Tan Sri Muhyiddin.

4. RINGKASNYA, SECARA UNILATERAL, KAMI TELAH PUN MENGISYTIHARKAN TALIAN DAN SOKONGAN KAMI YANG TIDAK BERBELAH BAHAGI DENGAN PARTI PRIBUMI BERSATU DI BAWAH PIMPINAN TUN DR. MAHATHIR DAN TAN SRI MUHYIDDIN.

5. Parti Ikatan sangat yakin kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke 14 dahulu adalah kerana ianya dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir. Kemenangannya adalah kerana “tsunami Tun Dr. Mahathir”. Ringkasnya, rakyat Malaysia yang mengundi berhasrat agar kerajaan baru pada ketika itu boleh membawa pembaharuan dan inginkan Tun Mahathir memimpin kerajaan tersebut. OLEH ITU, SEMUA YANG TIDAK MENYOKONG TUN DAN SEBALIKNYA TERUS MENERUS MENYUSAHKAN PIMPINAN BELIAU —, MALAH SEHINGGA KADANG-KADANG MENGHINA DAN MEMALUKAN BELIAU ADALAH SEBENAR-BENARNYA PENGKHIANAT TERHADAP MANDAT DAN AMANAH OLEH RAKYAT PADA PILIHANRAYA UMUM YANG SUDAH.

6. Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat keseluruhannya di seluruh negara dan di kalangan semua kaum berasa sangat kecewa di atas kelembapan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan. Ini terbukti dalam beberapa pilihanraya kecil yang lalu. Jelaslah, mereka rasa sangat tertekan dan kecewa dengan terbuktinya sifat-sifat sombong, bongkak dan gila kuasa yang di tunjukkan oleh pemimpin Pakatan Harapan, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat negeri-negeri. Semuanya ini adalah kerana mereka tidak berpengalaman, sememangnya lembap dan lembik dan sememangnya gila kuasa serta juga tidak menghargai mandat dan amanah rakyat yang telah diberikan kepada Pakatan Harapan.

7. Oleh yang demikian, dengan ini kami ingin merayu ke bawah DYMM Yang Di-Pertuan Agong untuk terus menjemput Tun Dr. Mahathir untuk menubuhkan kerajaan baru yang kami harap akan dinamakan sebagai “KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL”. Istilah “Perikatan” tersebut, sangatlah penting agar kita semua sedar dan insaf mengenai perjuangan mulia Bapa-Bapa Kemerdekaan dahulu, yang memerdekakan negara ini dan meletakkan batu asas yang begitu kukuh dan berpandangan jauh bagi negara tercinta ini untuk pembangunan seterusnya buat generasi akan datang.

8. Parti Ikatan penuh yakin dan merayu kepada Tun agar dengan kerajaan baru ini, beliau membawa kembali perjuangan mulia yang dipelopori “PARTI PERIKATAN” dahulu yang telah memerdekakan negara ini, kemudian membesarkannya menjadi Malaysia dan dalam masa yang sama berjaya membina asas yang begitu kukuh bagi kesejahteraan rakyat dan masa depan generasi akan datang.

9. Dalam pada itu, kami ingin juga memohon kepada kerajaan baru yang akan ditubuh dan dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir, iaitu Parti Perikatan Nasional, akan meneruskan dengan penuh tegas, berani dan berkesan supaya najis rasuah dapat dijijikkan oleh rakyat dan dinyahkan dari bumi Malaysia selama-lamanya. Negara mana pun, bangsa mana pun, tidak akan berjaya jika tidak menjadikan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisma dan pembaziran wang rakyat sebagai musuh-musuh utamanya.

10. Oleh itu, kami ingin merayu juga, kepada Tun agar dalam membentuk Jemaaah  Menterinya, beliau akan memilih ahli-ahli yang benar-benar bersih dan cekap serta komited dalam memerangi gejala-gejala busuk yang telah dijijikkan oleh rakyat dalam pilihanraya yang sudah berserta pemimpin-pemimpin yang berani untuk menegakkan juga Kedaulatan Undang-Undang.

11. Alhamdulillah, dalam parti-parti besar yang telah pun menyatakan sokongan mereka kepada Tun Mahathir, ternyata terdapat ramai pemimpin-pemimpin yang bersih, cekap dan berpengalaman yang dapat melonjakkan kejayaan kerajaan yang akan ditubuhkan nanti.

12. Oleh yang demikian, pihak kami ingin merayu kepada semua ahli Parlimen dan rakyat keseluruhannya untuk menyokong Tun supaya dilantik semula dan diberi kepercayaan sebesar-besarnya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8. Dan seterusnya memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk terus menerus mempimpin kerajaan Malaysia.

13. Akhir sekali, kami berikrar sekali lagi taat setia dan akan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin dalam memimpin kerajaan baru dan kami akan terus menerus mengembeling seluruh tenaga kami untuk membantu dalam hala tuju dan objektif yang mulia tersebut.

Yang Ikhlas,

Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir bin Hj. Sheikh Fadzir

PRESIDEN PARTI IKATAN BANGSA MALAYSIA (IKATAN)

Loading...