Identiti 3 Mangsa Nahas Dikenal Pasti

KUALA KANGSAR – Identiti tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan termasuk treler di Kilometer 246.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di sini malam tadi sudah dikenal pasti.

Ketiga-tiga mangsa itu ialah pemandu kereta Honda BRV, K Mahinderan,56, dan dua penumpang wanita, P Aruna,56, serta S Thavamalar, 52.

Tiga lagi penumpang kereta berkenaan iaitu S Jayakrisna, 51; V Rukumany,53, dan K Amutha, 57, dilaporkan parah.

Selain treler membawa muatan besi dan Honda BRV, kemalangan jam 10.20 malam itu turut membabitkan empat lagi kenderaan iaitu Perodua Axia, Toyota Inova, Proton Waja dan Honda Jazz serta dua motosikal iaitu Yamaha Y15 dan 125ZR.

Difahamkan, nahas turut mengakibatkan 10 lagi mangsa mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata hasil siasatan awal mendapati treler berkenaan dari arah utara ke selatan mengalami masalah tayar sebelah kanan pecah.

Katanya, ia menyebabkan treler berkenaan hilang kawalan dan menghimpit pembahagi jalan di laluan kanan sebelum berhenti kira-kira 100 meter selepas itu.

“Honda BRV yang datang dari arah belakang sebelah kanan gagal mengelal dan merempuh treler berkenaan sebelum berpusing masuk ke lorong kiri.

“Kemudian datang kenderaan lain dan melanggar Honda BRV berkenaan serta sesama sendiri dan kemalangan itu mengakibatkan pemandu serta dua penumpang Honda BRV meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Razali berkata, ketiga-tiga mayat mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

Menurutnya, susulan itu, polis menahan pemandu treler iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BH Online

Loading...