ICERD: “Saya Bukan Menteri Bertanggungjawab” – Saifuddin

17

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan, beliau bukan menteri yang bertanggungjawab meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bagaimanapun beliau mengakui, ICERD terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan dan pernah diucapkan perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2018.

“Meratifikasi International Conventions on Human Rights ada dalam Manifesto PH, dan ada dalam ucapan PM (perdana menteri) di PBB (2018), tapi saya bukan menteri tentang ICERD,” katanya di dalam ciapan Twitter rasminya di sini malam ini.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas dakwaan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook yang mendakwa, bahawa idea untuk meratifikasi ICERD dan Statut Rom merupakan idea Saifuddin dan bukannya idea DAP.

Pada 23 November 2018, Saifuddin yang merupakan Menteri Luar ketika itu dipetik sebagai berkata, keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Kabinet.

Mengulas mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Saifuddin berkata keputusan meratifikasi dan kemudian membatalkannya telah diputuskan di dalam Kabinet.


“Kedua-dua keputusan tentang meratifikasi dan lepas itu membatalkan Rom Statut, dibuat di Kabinet dan saya menteri bertanggungjawab,” katanya.

Pada 5 April 2019, Tun Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut itu membahayakan negara.

Tun Mahathir berkata Malaysia, yang menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac 2019, dan menyerahkan surat cara berkenaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama, boleh menarik balik surat cara itu sebelum Jun.

Setiausaha Agung PBB, bertindak atas kapasitinya sebagai depositori, memaklumkan bahawa penarikan diri Malaysia dari instrumen itu berkuat kuasa pada 29 April 2019. – BERNAMA