Ibu Zahirah Mohon Netizen Henti Kecam Anak

IBU kepada pelakon jelita, Zahirah Macwilson iaitu Maslinda Yusof meminta orang ramai menghentikan tohmahan negatif terhadap anaknya berhubung dakwaan aktor, Zul Ariffin, baru-baru ini.

Maslinda berkata, dia yakin bahawa anaknya tidak mungkin melakukan swafoto sewaktu pengebumian ibu Zul iaitu Robiah Nasir pada 5 Disember tahun lalu seperti mana yang didakwa oleh aktor berkenaan dalam satu kenyataan media.

Ujar Maslinda lagi, Zahirah sudah dewasa dan sudah pasti dia mengetahui kesan daripada tindak-tanduk dan perilakunya terutama ketika di khalayak ramai.

“Sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia. Saya memberi sepenuh kepercayaan agar dia terus tabah dalam berdepan dengan masalah yang dihadapi sekarang.

“Pada masa sama, saya turut bersimpati dengan keadaan Zahirah yang kini menjadi mangsa fitnah kerana ia perbuatan yang tidak masuk akal.

“Saya mendoakan agar dia terus tabah dan yakin Allah mengetahui segalanya,” ujar Maslinda dipetik sebuah portal online.

Pelakon, Zahirah Macwilson.

Sementara itu ditanya mengenai mengenai punca hubungan anaknya dengan Zul berakhir, Maslinda enggan mengulas lanjut mengenai hal berkenaan dan menyerahkan keputusan sepenuhnya melibatkan soal pilihan hidup kepada Zahirah.

“Biarpun tinggal berjauhan dengan Zahirah di Malaysia, namun saya sentiasa menghubungi dia untuk saling bertanya khabar.

“Saya memberi sepenuh kepercayaan bahawa dia boleh hadapi apa jua masalah yang dihadapi sekarang. Saya tak akan masuk campur urusan peribadi anak-anak kecuali mereka meminta pendapat,” jelasnya.

Baca: Zahirah Nafi Selfie Depan Jenazah Ibu Zul

Sebelum ini, Zul mengesahkan hubungan cintanya dengan Zahirah sudah terlerai sejak lebih sebulan lalu.

Aktor yang mencipta populariti menerusi drama rantaian Rindu Awak 200% itu berkata, dia reda apabila kepincangan hubungan yang berpanjangan tidak mampu dipulihkan lagi. – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...