Ibu Terkejut Jumpa Mayat Anak Hampir Reput

TUMPAT – Seorang ibu yang baharu pulang ke rumahnya di Taman Seri Kota Pasir Pekan, Wakaf Bharu di sini selepas bercuti di Kuala Lumpur dikejutkan dengan penemuan mayat anak lelakinya yang sudah reput.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang, mayat Ng Chee Siang, 47, ditemui di dalam bilik tidur oleh ibunya Lee Sai Mai, 68.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, kali terakhir ibunya berbual dengan mangsa ialah pada Jumaat lalu melalui panggilan telefon.

“Sehari kemudian ibunya sekali lagi menelefon anaknya tetapi tidak berjawab.

“Terdahulu, sebelum kejadian Sai Mai bercuti selama seminggu di Kuala Lumpur dan pulang ke rumah semalam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, kematian mangsa diklasifikasikan mati mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

“Hasil pemeriksaan juga tiada sebarang kesan kecederaan kepada mangsa,” ujarnya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat.

Loading...