Ibu Pejabat UMNO Terima Sumbangan Bas

KUALA LUMPUR – Ibu pejabat UMNO hari ini menerima sumbangan sebuah bas daripada syarikat pengangkutan teknologi hijau, Gets Global Berhad bagi kegunaan anggota parti itu.

Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima sumbangan bas yang mampu memuatkan 41 penumpang itu bagi pihak parti berkenaan.

Pada majlis ringkas di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2017, Najib turut diberi penerangan mengenai rekaan corak pada badan bas itu yang dijangka siap dipasang Jumaat ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Pengarah Urusan Gets Global Berhad, Datuk Che Azizuddin Che Ismail.

Dalam pada itu, Che Azizuddin berkata sumbangan bas tersebut sebagai dibuat kerana menghargai usaha UMNO dalam menyumbang kepada kemakmuran negara.

“UMNO merupakan sebuah parti yang memberi kekuatan kepada bangsa Melayu serta banyak menyumbang kepada kemakmuran bangsa dan negara termasuklah saya, hasil daripada pentadbiran kerajaan yang bertulang belakang UMNO,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata sumbangan kecil syarikatnya itu diharap dapat membantu anggota UMNO dari segi pengangkutan.

Katanya bas jenama Foton buatan China itu turut dilengkapi kemudahan Wi-Fi, pemacu kilat USB serta sistem audio dan video.

Perhimpunan agung tahunan parti itu bermula hari ini sehingga Sabtu ini. – BERNAMA