Ibu Hanya Mampu Lihat 2 Anak Dihanyut Arus Sungai

IBU kepada dua beradik yang lemas dalam kejadian berdekatan rumah pam Sungai Pedu, Kampung Bukit Sena, di Kuala Nerang semalam hanya mampu melihat dua anaknya dihanyutkan arus sungai yang deras.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Nur Sariza Hafniza Samsudin, 14; Nur Safia Hafiza, 16 dan datuk mereka, Mad Ramli Ibrahim, 65, lemas, manakala seorang lagi remaja perempuan yang merupakan rakan kepada dua beradik itu dapat diselamatkan orang ramai.

Noor Hayati Mad Ramli, 40, berkata sebelum kejadian anak-anaknya bersama rakan mereka hanya bermain di tepi sungai sebelum turun ke tengah sungai selepas menjamah makanan yang dibawa untuk berkelah.

“Awalnya depa (mereka) main kat gigi sungai saja, saya tengah sibuk tengok anak lelaki (7 tahun) dan anak menakan (anak saudara) kecil yang lain. Bila tengok balik mereka bertiga dah ada di tengah sungai dan saya jerit marah mereka cakap kat situ dalam.

“Tiba-tiba air jadi deras dan datuk mereka yang sedang makan terus terjun ke dalam sungai untuk selamatkan mereka tetapi arus sangat deras dan terus hanyutkan mereka. Depan mata saya lihat anak sulung tenggelam sebelum anak kedua dan ayah juga hilang daripada pandangan,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Nerang.

Noor Hayati yang hamil lima bulan berkata dia memang berasa tidak sedap hati sebelum pergi ke sungai tersebut kerana sudah bersiap untuk pulang ke rumah mereka di Kuala Kedah pada 9 pagi, sebelum bapanya mengajak mereka sekeluarga pergi berkelah.

“Saya ada hal nak balik Kuala Kedah tetapi ikut juga permintaan arwah ayah yang mengajak kami berkelah di Sungai Pedu. Ayah dan adik beradik lain pernah pergi ke situ tapi kami sekeluarga baru pertama kali ke sana dan saya memang rasa tidak sedap hati.

“Sebelum kejadian, Safia Hafiza sempat memberikan cincin yang saya beri padanya, sebelum ini dia tak pernah tanggalkan cincin itu, dia minta saya pegang sekejap tapi tak sangka ia menjadi petanda pemergiannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata kejadian arus deras itu dipercayai berlaku selepas pintu empangan dibuka dan pihaknya terpaksa meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menutup semula pintu empangan pada 3 petang bagi melakukan operasi mencari mangsa.

“Mangsa pertama berusia 14 tahun ditemui pada 2.26 petang diikuti kakaknya berusia 16 tahun pada 4.36 petang dan datuk pada 5.22 petang, dalam radius 100 meter dari tempat mereka dilihat lemas,” katanya. – BERNAMA

Loading...