Ibu Bapa Penagih Pengaruhi Anak-Anak Ambil Dadah

KOTA BHARU – Ibu bapa yang terbabit dalam najis dadah adalah antara faktor yang menyebabkan ada kanak-kanak seawal usia 11 tahun dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Kanak-kanak atau pelajar sekolah ini biasanya pernah melihat ibu atau bapa mereka mengambil dadah dan akan cuba meniru perbuatan itu tanpa mengetahui ia adalah satu kesalahan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, setakat tahun ini sudah lebih 1,000 pelajar sekolah di negeri ini dikesan positif dadah ketika ujian air kencing.

Beliau berkata hasil soal siasat yang dijalankan kebanyakan mereka yang terlibat adalah selepas melihat perbuatan ibu bapa mereka selain pengaruh rakan sebaya di kawasan tempat tinggal mereka.

“Keadaan ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana mereka adalah generasi akan datang. Jika terlibat dengan dadah sudah pasti masa depan mereka akan menjadi kelam.

“Keadaan ini adalah sesuatu yang memilukan. Susulan itu, kita mengharapkan orang ramai atau mana-mana pihak agar turut berkerjasama dengan polis dalam menghapuskan dadah khususnya di Kelantan dan negara amnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Polis dan Masyarakat Jihad Dadah Peringkat Sekolah Kelantan di Sekokah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hasanuddin berkata ada juga pengedar dadah dikesan berkeliaran di kawasan sekolah dan menjadikan pelajar sebagai sasaran mereka.

“Kegiatan kumpulan pengedar ini tidak banyak atau berleluasa sangat di negeri ini tetapi tidak dinafikan memang wujud kerana polis pernah membuat tangkapan.

“Biasanya dadah yang popular di kalangan pelajar di sini adalah pil kuda kerana mudah diperolehi. Jika mahu dikatakan harganya murah ianya tidak benar juga dan akibat penagihan mereka mungkin akan terlibat dengan kegiatan jenayah pula,” katanya.

Selain itu, Hasanuddin berkata gejala penyalahgunaan dadah bukan tertumpu kepada mana-mana individu atau latar belakang kerana jika dilihat di pusat pemulihan golongan penagih ada berkerja sebagai buruh sehinggalah golongan profesional.

Jelasnya di Kelantan sahaja sehingga kini lebih 15,000 individu ditahan selepas dikesan terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah termasuk mengedar, memiliki atau mengambil dadah. – BERNAMA