Budak Mati Disyaki Didera: Ibu, Abang Direman 7 Hari

SEGAMAT – Ibu dan abang seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang ditemukan mati di bilik sewa di Jalan Ros dekat sini, direman tujuh hari bermula hari ini.

Tempoh reman hingga 16 Julai itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Ahmad Shakib Ismail di Mahkamah Majistret Segamat, di sini kira-kira 4.30 petang ini.

Wanita berstatus ibu tunggal berusia 42 tahun dan anaknya berumur 23 tahun yang dipercayai lembam itu dibawa ke mahkamah berkenaan dengan berpakaian lokap berwarna oren.

Semalam, kanak-kanak malang itu ditemukan mati dengan beberapa kesan lebam pada belakang badan dan kepala oleh ibunya di bilik sewa tingkat tiga premis rumah kedai dekat sini kira-kira 1 pagi, semalam.

Mangsa yang dibawa ke wad kecemasan Hospital Segamat itu disahkan meninggal dunia sebelum sempat diberikan rawatan. – BERNAMA