Hutang RM1 Trilion Bakal Jadi Kenyataan

KUALA LUMPUR – Momokan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung status hutang negara yang didakwa mencecah RM1 trilion bakal menjadi kenyataan selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah Putrajaya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana, berdasarkan semakan terkini dalam laman Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga April lalu, hutang langsung Kerajaan Persekutuan telah meningkat ke paras RM776.82 iaitu pertambahan sebanyak RM35.77 bilion bagi empat bulan pertama tahun ini.

Katanya, ini sekali gus menjadikan kenaikan berjumlah hampir RM89.96 bilion sejak Disember 2017.

Berikut merupakan enam persoalan yang dikemukakan beliau untuk dijawab oleh Guan Eng kepada rakyat:

Di manakah janji dan komitmen PH untuk mengurangkan jumlah hutang negara?

Kenapa dana sumbangan rakyat melalui Tabung Harapan yang berjumlah RM202 juta tidak dimanfaatkan untuk melunaskan hutang-hutang negara sebagaimana diuar-uarkan ketika awal membentuk kerajaan dahulu?

Ke mana pula dana yang dijarah dari Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sehingga RM80 billion disalurkan?

Apakah benar dividen Petronas ini digunakan untuk pemulangan semula (refund) cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan tauke-tauke kaya raya yang sebenarnya tidak disahkan oleh pihak Jabatan Audit Negara?

Apakah pelan dan perancangan PH untuk mengurangkan hutang negara?

Apakah jaminan kerajaan untuk tidak lagi menerbitkan hutang-hutang baharu yang pastinya akan terus membebankan negara? – UTUSAN ONLINE

Loading...