Hutang Langsung Kerajaan Bertambah

PUTRAJAYA – Meskipun jumlah hutang dan liabiliti kerajaan dikurangkan daripada 79.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 kepada 75.4 peratus pada 2018, hutang langsung bertambah daripada 50.1 peratus berbanding KDNK pada 2017 kepada 51.2 peratus pada 2018. 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini kerana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menolak amalan pembiayaan luar belanjawan bagi menyembunyikan hutang-hutang yang meragukan.

Setelah PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mei 2018, beliau berkata, semakan semula yang menyeluruh telah dilaksanakan terhadap obligasi kewangan kerajaan dan ia mengesahkan bahawa hutang dan liabiliti lerajaan sehingga akhir 2017 adalah sebanyak RM1.087 trilion. 

“Angka ini turut disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang dianggotai wakil Kerajaan dan pembangkang dalam laporan mereka bertarikh 17 Julai lalu.

“Sebahagian besar daripada jumlah ini merupakan hutang dan liabiliti yang sengaja disembunyikan ataupun dipaparkan sebagai perkara luar belanjawan oleh pentadbiran terdahulu. 

“Ini termasuk hutang 1MDB sebanyak RM38.3 bilion yang didapati telah dibayar balik secara rahsia oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Tambah Guan Eng, liabiliti lain sebanyak RM260.1 bilion termasuk perbelanjaan kerajaan luar belanjawan yang dinyatakan sebagai Kerjasama Awam Swasta (PPP) atau Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) namun kos pembiayaan, risiko dan obligasi kesemua projek itu dipikul oleh Kerajaan Persekutuan. 

Jelasnya, PPP dan PFI telah disalahgunakan oleh kerajaan BN untuk memberi tanggapan palsu bahawa defisit belanjawan adalah rendah dan diiringi oleh paras keberhutangan yang lebih rendah. – UTUSAN ONLINE

Loading...