Perlu Setimpal Ganti Hukuman Mati Berkaitan Dadah

PADANG BESAR – Kerajaan wajar memperkenalkan hukuman yang setimpal bagi menggantikan hukuman mati bersabit kesalahan dadah, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

“Jika kerajaan putuskan hukuman gantung dimansuhkan, apa sahaja kesalahan penggunaan dadah perlu dikenakan hukuman yang setimpal bagi menggantikan hukuman mati,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak projek Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Bukit Cabang di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kabinet untuk memansuhkan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya hukuman tegas perlu sebagai bentuk pencegahan memandangkan bukan semua kesalahan yang melibatkan dadah boleh dikenakan hukuman gantung.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata dua kawasan di Perlis iaitu Kuala Perlis dan Simpang Empat antara 178 kawasan yang dikenalpasti sebagai zon merah atau panas berlaku gejala penagihan dadah.

Menurutnya dua lagi kawasan iaitu Arau yang sebelum ini dalam zon merah telah bertukar status ke zon kuning manakala Kangar kini berstatus hijau daripada zon kuning.

“Kedudukan Perlis yang berdekatan dengan sempadan memudahkan mereka mendapat sumber dadah dengan mudah,” katanya.

“Kita akan terus berusaha membanteras penyalahgunaan dadah di seluruh negara untuk menjadikan semua kawasan hijau,” tambahnya.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhiyddin Yassin sebelum ini mendedahkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi ialah Pahang sebanyak 16,150 kes; Kelantan (16,918); Terengganu (10,576); dan Perlis (2,123).

Mengenai pembinaan CCRC Bukit Cabang, Zulkifli berkata projek yang menelan kos RM35.2 juta itu dijangka siap menjelang akhir tahun depan, yakni lebih awal daripada jangkaan Mac 2020.

Beliau berkata dua lagi CCRC di Dengkil, Selangor dan Kuching, Sarawak sedang giat dilaksanakan. – BERNAMA