Hujan Tidak Halang ‘Ekor’ Sambut Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Hujan lebat tidak menghalang ratusan penyokong hadir di Dataran Merdeka malam ini untuk memberi sokongan kepada skuad…

KUALA LUMPUR – Hujan lebat tidak menghalang ratusan penyokong hadir di Dataran Merdeka malam ini untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang muncul naib juara Piala AFF 2018.

Para penyokong, atau kini dikenali sebagai ‘ekor’ mula berkumpul di sekitar dataran yang penuh bersejarah itu seawal pukul 5 petang tanpa mengendahkan hujan lebat yang turun.

Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu, pulang ke tanah air hari ini selepas aksi final kedua Piala AFF 2018 di Hanoi, Vietnam, malam semalam.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sekitar pukul 6 petang, skuad Harimau Malaya menaiki model kereta keluaran terbaharu Proton, X70 ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebelum berarak menaiki bas ke Dataran Merdeka.

Di Dataran Merdeka, skuad Harimau Malaya disambut dengan sorokan gemuruh daripada ‘ekor-ekor’ setia, termasuk kanak-kanak.

Sebagai tanda penghargaan kepada penyokong, para pemain turut mengedarkan baju dan poster skuad Harimau Malaya yang disediakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Vietnam muncul juara Piala AFF 2018 dengan keputusan agregat 3-2 selepas menewaskan Malaysia 1-0 pada final kedua menerusi jaringan Nguyen Anh Duc pada minit kelapan di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu.

Untuk rekod, Malaysia telah mara ke final kejuaraan yang melibatkan negara-negara Asia Tenggara itu sebanyak empat kali sejak kejohanan dwitahunan itu diperkenalkan pada 1996, namun hanya pernah muncul juara sekali pada edisi 2010. – BERNAMA

Loading...