Pesawah Di Pahang Siap Sedia Kemungkinan Banjir

PEKAN – Hujan yang melanda beberapa kawasan di negeri Pahang sejak beberapa hari lalu menimbulkan kegusaran di kalangan pesawah di Pekan dan Rompin, bimbang sekiranya daerah itu kembali dilanda banjir besar seperti yang pernah berlaku pada 2007 dan 2014.

Bagi petani di Paya Sepayang, Rompin, Azman Mohammad, 55, banjir yang berlaku pada tahun itu menimbulkan kenangan yang buruk kepada pesawah apabila hasil tanaman musnah semua sekali sehingga mereka terpaksa menanggung kerugian beribu-ribu ringgit.

“Memang setiap kali musim tengkujuh dan huhan lebat kami golongan petani dan pesawah tidak dapat tidur lena lebih-lebih lagi penempatan kami terletak berhampiran dengan kawasan sungai.

“Namun kita semua perlu menghadapinya dan ramai yang terpaksa ‘mencatu’ kewangan sejak awal lagi sebagai persediaan jika berlaku sebarang musibah bagi menampung keperluan keluarga. Ia termasuk menyediakan perbelanjaan bagi persekolahan anak-anak pada awal tahun nanti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya ditambah lagi dengan ketidak tentuan ekonomi negara pada masa kini, golongan petani dan peswah kini tidak lagi boleh bergantung harap dengan bantuan yang diberikan kerajaan sebaliknya perlu lebih bekerja keras untuk menyara hidup mereka.

Mengikut Jabatan Meteorologi, sepanjang bulan Disember ini beberapa tempat di Timur Pahang iaitu Pekan dan Rompin serta Timur Johor dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata dengan jumlah hujan bulanan melebihi 450mm.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail hari ini juga memaklumkan tempoh lima hari bermula 22 Dis ini dikategorikan sebagai ‘waktu kritikal’ ekoran ramalan hujan lebat dan air pasang besar yang dijangka berlaku menyebabkan kawasan Kuantan, Pekan dan Rompin berisiko banjir.

Sementara itu bagi seorang pesawah dari Kampung Pulau Rusa, Pekan, Nawawi Kasim, 64, berkata hujan yang lebat setiap hujung tahun diikuti dengan banjir sering menyebabkan pesawah sepertinya berputih mata apabila bendang bertukar menjadi ‘lautan’.

“Saya mempunyai 121 hektar sawah padi dan sudah pasti pengalaman selama lebih 40 tahun pernah merasai kerugian tanaman bernilai ribuan ringgit yang musnah akibat ditenggelami air selain ternakan yang banyak mati akibat banjir.

“Untuk mengelakkan perkara itu berlaku, ramai di kalangan pesawah kini mengikuti jadual penanaman padi dua kali setahun yang dikeluarkan pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta nasihat daripada Jabatan Pertanian.

“Apabila kami mengikut saranan itu, tiada lagi sebarang aktiviti di kawasan sawah sepanjang tempoh musim tengkujuh (penghujung bulan November hingga Januari),” katanya.

Bagi Penolong Pengarah IADA Pekan Rosliza Shamsuddin, jadual penyelarasan penanaman padi dua kali setahun dilakukan untuk memastikan pesawah tidak menanggung kerugian apabila berlaku bencana banjir.

“IADA sentiasa memantau keadaan petani dan mereka faham bahawa penetapan yang dilakukan adalah untuk mengelak kerugian kepada pesawah sendiri kerana kita semua maklum bahawa pada musim tengkujuh, majoriti kawasan Pekan berisiko dilanda banjir,” katanya.

Pahang mempunyai 5,020 orang pesawah dari enam buah daerah melibatkan keluasan 7900 hektar sawah padi melibatkan tanaman padi jenis MR297, MR220 dan MR263. – BERNAMA

Loading...