“Hubungan Tak Baik, Tapi Tidak Sampai Halau Fasha”

MASIH berlanjutan isu krisis antara Fasha Sandha dengan Nora Danish gara-gara episod ‘dihalau’ daripada sebuah acara fesyen anjuran sebuah gedung tekstil terkemuka negara Rabu lalu.

Walaupun pihak Fasha tidak habis-habis cuba menegakkan bahawa kejadian itu memang benar-benar terjadi, Nora pula masih berkeras bahawa pihaknya tidak pernah menghalau Fasha daripada majlis berkenaan.

Terbaru, Nora meluahkan rasa kesal dan terkilan dengan tindakan aktres berkenaan yang telah menjejaskan maruah keluarga dan perniagaannya selain berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Fasha.

Tambah Nora, tuduhan buruk yang memberi persepsi negatif itu secara tidak langsung menjejaskan perniagaan yang sedang dipromosikannya.

“Saya sedih dan terkilan kerana tindakan dia telah membuatkan beberapa pelanggan saya ingin memulangkan balik baju raya yang telah mereka beli. Ada juga yang berpaling arah dan benci kepada saya.”

Malah, Nora turut mendedahkan situasi sebenar hubungannya dengan Fasha.

"Hubungan Tak Baik, Tapi Tidak Sampai Halau Fasha"
Ketua Pegawai Eksekutif Glass Go Media, Amir Rizuan Ali menerangkan perkara sebenar yang berlaku semasa majlis Fenomena Aidilfitri 2017 Rabu lalu.

“Hubungan saya dan Fasha memang dari dulu tidak baik tapi tidaklah sampai saya menghalang dia hadir atau halau dia pada majlis itu. Itu bukan majlis saya dan saya tidak tahu dan tidak pernah ambil tahu dia datang atau tidak.

“Kalau benar saya mahu bertindak demikian kenapa baru sekarang?” soalnya.

Oleh kerana terkesan dengan kejadian itu, Nora telah bertindak menyaman Fasha manakala Fasha pula telah mengemukakan saman terhadap syarikat Glass Go Media yang menganjurkan program tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Glass Go Media, Amir Rizuan Ali mengakui perselisihan antara Fasha Sandha dan Nora Danish adalah berpunca daripada salah faham pihak mereka.

Amir yang juga selaku penganjur majlis Fenomena Aidilfitri 2017 menjelaskan keputusan menghalang Fasha hadir pada majlis berkenaan dibuat tanpa sebarang arahan daripada pihak Nora.

Katanya, apa yang dilakukan itu dirasakan sebagai cara terbaik untuk memastikan majlis tersebut berjalan lancar.

“Salah faham ini berpunca daripada saya kerana saya langsung tidak bertanya Nora terlebih dahulu. Saya tahu hubungan mereka tidak baik, jadi saya tidak mahu perkara buruk berlaku pada majlis yang saya anggap penting buat saya.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian Fasha dihalau seperti didakwa,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC