Huawei Jenama Ke-47 Paling Bernilai Dunia

KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi China, Huawei mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama global bernilai di kedudukan ke-47 dunia, naik satu anak tangga berbanding tahun lalu walaupun berdepan dengan konflik termasuk disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS).

Kajian dari BrandZ’s bagi 100 Jenama Global Paling Bernilai Tahunan, yang diterbitkan oleh firma penyelidikan WPP Kantar melaporkan nilai jenama Huawei melonjak lapan peratus.

Laporan itu menyatakan ini adalah tahun keempat berturut-turut Huawei tersenarai dalam 50 jenama teratas.

Inovasi produk seperti sistem kamera pintar bagi telefon pintar Huawei P30 dan teknologi baharu telefon pintar Huawei Mate X yang mempunyai keupayaan 5G dan reka bentuk dilipat yang baru jelas memainkan peranan penting kepada firma teknologi China itu.

Firma penganalisis terkemuka, IDC juga dalam laporan Worldwide Mobile Device Tracker, menyatakan Huawei mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun dalam penghantaran lebih daripada 50 peratus.

Ia juga menyatakan tumpuan Huawei adalah untuk meningkatkan kedudukannya di dunia peranti mudah alih, mengurangkan jurang dengan Samsung.

IDC berkata, Huawei kini memiliki 19 peratus penguasaan pasaran global dalam kategori telefon pintar dan menjadi satu-satunya vendor telefon pintar mencatatkan peningkatan dalam jumlah penghantaran sepanjang suku pertama 2019.

Kejayaan Huawei itu memberikan petunjuk kejayaan jenama dari China dalam ekonomi pengguna global.

Empat daripada sembilan penyertaan baharu dalam kajian laporan BrandZ itu adalah syarikat yang berpangkalan di China dan terdapat 15 syarikat dari China berada di kedudukan 100 teratas.

Secara keseluruhannya, terdapat kenaikan tujuh peratus daripada AS$4.4 trilion kepada AS$4.7 trilion berbanding laporan tahun lalu, dengan tambahan sebanyak AS$328 bilion kepada jenama yang disenaraikan dalam laporan itu.

Bagi tahun ke-13, syarikat teknologi pengguna terus mendominasi kedudukan teratas yang menduduki lapan daripada sepuluh tempat dengan nilai gabungan lebih daripada AS$1 trilion.

Bagi pasaran hadapan, Huawei menyatakan komitmennya untuk membangunkan teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat, serta pengguna, yang pasti meningkatkan reputasi dan kedudukannya kelak.

Sebagai contoh, inisiatif ‘AI for Good’ Huawei membawa petunjuk bagaimana kecerdasan buatan (AI) dapat menjadi teknologi transformatif apabila diterapkan dalam membantu mengatasi cabaran dan meningkatkan kehidupan.

Projek terkini Huawei termasuk menerjemahkan buku ke dalam bahasa isyarat untuk kanak-kanak kurang upaya pendengaran, membaca ekspresi muka untuk orang buta dan mendiagnosis masalah visual pada peringkat awal bagi rawatan yang berkesan. – Agensi

Loading...