Hotel Tema Kapal Terbang Jadi Semakin Terkenal

PERCUTIAN di hotel mewah tepi pantai kini kelihatan ‘biasa’ dan tidak menarik selepas kehadiran hotel-hotel bertemakan penerbangan yang unik dan kreatif ini.

Seperti satu trend baharu, konsep percutian dalam pesawat dan helikopter mula mendapat perhatian orang ramai memandangkan kelainan yang ditampilkannya.

Melihat kepada perkembangan konsep ini, akhbar MailOnline Travel telah menjelajah dunia untuk mencari rumah tetamu yang bertemakan penerbangan.

Antara yang menarik tentunya sebuah pesawat Boeing 727 tahun 1965 dijadikan sebagai pusat penginapan di tengah hutan Costa Rica selain sebuah helikopter yang diletakkan di sebuah kawasan perkampungan Inggeris.

Di Sweden pula, 450 kerusi penumpang telah dikeluarkan daripada sebuah pesawat keluaran tahun 1976 untuk mencipta suasana yang unik di kokpit berkenaan.

Senarai di bawah merupakan tempat penginapan yang diilhamkan daripada sebuah pesawat yang mungkin dapat memberikan inspirasi kepada anda.

Costa Verde, Costa Rica

Hotel Costa Verde di Costa Rica merupakan sebuah pesawat Boeing 727 tahun 1965 yang diperbaharui. Pesawat ini memberikan gambaran suasana berada di dalam sebuah pesawat dengan dikelilingi hutan kanopi.

Pemiliknya telah mengubah rangka pesawat tersebut untuk dijadikan sebagai tempat istirehat sebelum membahagikannya kepada dua bilik tidur berhawa dingin, bilik mandi peribadi, dapur dan ruang makan.

Di bahagian luar pula, disediakan ruang beranda yang membolehkan para tetamu menikmati pemandangan lautan dan taman-taman yang rimbun di sekitarnya.

Pemilik pusat penginapan ini juga menukar bahagian kokpit McDonnell Douglas menjadi sebuah pondok yang selesa dengan menyediakan sebuah katil bersaiz king, ruang duduk, bilik mandi dan dapur.

Ream Hills Caravan Park, Lancashire

Ream Hills Caravan Park di Lancashire, United Kingdom merupakan sebuah helikopter tahun 1982, Westland Lynx XZ676 yang telah ditransformasi menjadi tempat penginapan.

Bahagian dalaman helicopter ini pula dihiasi dengan penuh bergaya, di mana ia boleh menampung empat orang dan mempunyai sink dapur, peti sejuk mini, microwave serta sebuah televisyen skrin-rata.

Tempat penginapan tersebut juga memiliki kemudahan tempat pemanas untuk kegunaan tetamu yang menginap di hotel tersebut ketika waktu sejuk.

Jumbo Stay, Sweden

Jumbo Stay, yang terletak di pintu masuk ke Lapangan Terbang Stockholm Arlanda di Sweden, ditempatkan di dalam model jet jumbo 747-212B dari tahun 1976.

Pesawat itu dibeli pada tahun 2006 dan kesemua 450 tempat duduk telah dikeluarkan bagi pemasangan ruang bilik penginapan. Pusati penginapan ini turut menyediakan beberapa bilik peribadi.

Secara keseluruhan, ia memiliki 76 bilik, dengan salah satu bilik tidur terletak di bahagian kokpit.

Jumbo Stay juga memiliki sebuah kafe di mana tetamu dan pengunjung boleh membeli sarapan pagi dan hidangan panas.

Woodlyn Park, Pulau Utara, New Zealand

Taman Woodlyn Park di Waitomo, New Zealand, adalah rumah kepada pelbagai pengalaman penginapan yang luar biasa bagi pengunjung, termasuk pesawat Bristol Freighter.

Pesawat itu, yang merupakan salah satu pesawat bersekutu terakhir dari Vietnam, telah diubahsuai menjadi unit dua bilik dan salah satu bilik tidurnya diletakkan di bahagian kokpit.

Turut disediakan di pusat penginapan ini ialah bilik mandi dan ruang tamu dengan dapur kecil. Para tetamu boleh menyiapkan makanan mereka sendiri dengan menggunakan gas memasak biasa atau ketuhar mikro.

Wigwams Farms, Stirling, Scotland

Wigwams Mains Farm di Stirling, Scotland, merupakan sebuah helikopter Sea King yang diperbaharui dan diubahsuai menjadi sebuah tempat tidur.

Ia boleh menampung sehingga lima orang dengan katil berkembar di dalam badan pesawat, tempat duduk yang berubah menjadi katil double dan satu katil di bahagian ekor pesawat.

Ciri-ciri lain yang terdapat dalam pesawat ini ialah dapur mini, bilik mandi dan kawasan tempat duduk kokpit di mana para tetamu boleh menikmati pemandangan Forth Valley yang menakjubkan.

Hangar Hotel, Texas

Hotel yang terletak di Texas, Amerika Syarikat (AS) dan menyerupai hangar perang dunia kedua ini mempunyai reka bentuk yang unik.

Memiliki 50 bilik tetamu, tempat penginapan yang unik di Lapangan Terbang Daerah Gillespie di Fredericksburg ini memiliki sejarahnya tersendiri.

Hotel ini bersebelahan dengan kawasan landasan kapal terbang, memberikan pemandangan yang sangat baik dan terdapat dek pemerhatian untuk penggemar penerbangan.

Aviator, Hampshire

Aviator di Lapangan Terbang Farnborough, United Kingdom telah dicipta sebagai hotel untuk ‘pengembara elit yang bergerak di antara London dan destinasi utama dunia’, dengan premisnya terletak bersebelahan lapangan terbang peribadi.

Ciri yang paling menarik ialah rotunda tengah, dengan setiap tingkat hotel menghadap ke depan, untuk mencipta ilusi kipas pesawat apabila dilihat dari atas.

Sementara itu, Sky Lounge menghadap ke lapangan terbang yang akan membolehkan tetamu duduk dan menonton aksi di landasan. – MYNEWSHUB.CC

Loading...