Hotel Mengakui Klip CCTV Berkait Skandal Seks Haziq

PETALING JAYA – Hotel di tengah-tengah skandal video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengakui ia maklum tentang klip video terbaru, yang dikatakan rakaman CCTV, yang diambil pada hari kejadian.

“Kami maklum tentang rakaman video berkaitan kes yang didakwa melibatkan Haziq Aziz dan Azmin Ali dinaikkan ke YouTube,” jurucakap hotel Four Points di Sandakan, Sabah memberitahu FMT ketika ditanya tentang kesahihan rakaman itu.

“Keselamatan dan kesejahteraan tetamu kekal merupakan tanggungjawab pertama kami. Justeru, pihak hotel sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan tidak dapat memberikan maklumat lanjut.”

Video terbabit kelihatan terdiri daripada rakaman dari beberapa sudut, yang menunjukkan lobi lif serta koridor sebuah hotel.

Ia disertakan dengan kapsyen yang mempersendakan 3 watak utama yang dikatakan berada di tempat kejadian, iaitu Azmin; setiausaha politik beliau, Hilman Idham dan Haziq.

FMT sehingga kini tidak dapat mengesahkan sama ada lelaki yang dilihat dalam klip video terbabit merupakan mereka bertiga.

Haziq, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, menggemparkan negara bulan lepas selepas membuat satu rakaman video mengaku bahawa beliau dan Azmin merupakan 2 lelaki yang dilihat mengadakan hubungan seks sejenis dalam beberapa klip video yang tular di media sosial sebelum itu.

Azmin menafikan dakwaan itu dan berkata, ia merupakan sebahagian konspirasi yang bertujuan membunuh kerjaya politiknya.

Dalam pada itu, Haziq dipecat daripada PKR malam tadi berkuatkuasa serta merta. – FMT

Loading...