Hospital P.Pinang Cari Waris Mayat Lelaki

GEORGE TOWN – Hospital Pulau Pinang (HPP) mencari anggota keluarga atau waris kepada seorang lelaki yang meninggal dunia sejak 20 November lepas, namun sehingga hari ini tiada sesiapa yang menuntut mayat warga emas itu.

Pengarah HPP Datuk Dr Norsidah Ismail berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh mangsa dikenali sebagai Yuen Ho Kwee, 64, dan beralamat terakhir di No T-I 201, Hong Seng Estate di Mount Erskine.

“Lelaki berbangsa Cina dan beragama Buddha itu meninggal dunia pada pukul 8.01 malam kerana penyakit paru-paru obstruktif kronik dan sehingga hari ini mayatnya masih berada di Jabatan Perubatan Forensik HPP,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak HPP meminta kerjasama anggota keluarga atau waris lelaki itu agar hadir di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan bagi urusan pengebumian mangsa. – BERNAMA

Loading...